Tafakkur dan Tafaqquh Juz 13

- Advertisement -

PADA hari ini, tafakkur 13 Ramadan memfokuskan ayat berkenaan kejadian kilat dan petir di langit. Pada hakikatnya, semua itu di bawah kekuasaan Allah untuk membuktikan seluruh makhluk-Nya di langit dan bumi sentiasa bertasbih serta memuji kebesaran-Nya. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ

“Dan Dialah yang petir dan Malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya. Dan Dialah juga yang menghantarkan kilatan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan kuasa Allah. Padahal Dia amat keras azab seksa-Nya.”

[ar-Ra’d: 13]

Al-Quran telah membincangkan perihal petir dengan membawa istilah al-Ra’du, al-Showa’iq dan al-Barq. Para Mufassirun mendefinisikan al-Ra’du lebih dekat dengan makna suara petir sementara al-Shawa’iq dan al-Barq lebih dekat dengan makna kilatan petir, iaitu cahaya yang muncul beberapa saat sebelum adanya suara petir atau guruh.

Sayyidina Ibnu Abbas R.A ada menyebut bahawa petir itu adalah Malaikat yang berteriak kuat untuk mengatur perjalanan awan yang mengakibatkan turunnya hujan.

Petir merupakan suatu fenomena alam yang sering terjadi saat sebelum dan ketika turunnya hujan. Apabila kilatan petir menyentuh ke bumi, Saintis menyatakan bahawa cuaca menjadi panas hingga mencecah 25,000 darjah celsius dan kelajuan kilatan petir sehingga 150,000 km/detik.

Mengikut ahli Sains juga, kilat yang terhasil mempunyai banyak kebaikannya kepada penduduk bumi. Ia dapat membantu pembentukan lapisan ozon bagi melindungi bumi daripada radiasi sinar matahari yang berbahaya bagi kehidupan di bumi.

Selain itu, kilat dapat membantu mengimbangkan arus elektrik di bumi. Ia boleh memindahkan caj negatif balik ke bumi. Tanpa bantuan ini, imbangan elektrik antara bumi dan atmosfera akan semakin hilang. Begitu juga untuk faedah tumbuh-tumbuhan yang dapat melarutkan gas nitrogen ke dalam air bagi menghasilkan baja asli seterusnya meresap ke akar-akar tumbuhan.

Inilah rahmat Allah kepada makhluk di bumi, walaupun guruh dan kilat ditakuti oleh manusia dan makhluk lain namun ia tetap membawa manfaat kepada kehidupan mereka. Kajian Sains juga menyatakan bahawa dengan berlaku sambaran petir di udara, ia akan membunuh kuman-kuman dan bakteria yang terlalu banyak di udara dan ini akan menyebabkan udara menjadi bersih untuk keselesaan makhluk di muka bumi.

Subhanallah!

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
13 Ramadan 1439H – HARAKAHDAILY 29/5/2018

- Advertisement -