Petisyen PAUiTM bantah cadangan Hindraf

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Susulan bantahan terhadap cadangan Hindraf yang mahu UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera, satu petisyen Bantah Pelonggaran Kemasukan Ke UiTM Untuk Bukan Bumiputera telah dilancarkan secara atas talian.
 
Petisyen tersebut telah dilancarkan oleh Persatuan Alumni Uitm Malaysia (PAUiTM) dengan hasrat mengutip 75,000 sokongan bagi membantah cadangan Hindraf 2.0 itu hari ini.
 
Presiden PAUiTM, Dato’ Mohd Zaini Hassan dalam kenyataannya berkata, walaupun kerajaan baharu ini perlu mengambil maklum tuntutan pelbagai masyarakat, namun konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu harus dipertegaskan.
 
“PAUiTM bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu Bumiputera di negara ini.
 
“Sehubungan itu kami mahu kenyataan berbau hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Sehingga tengah hari ini tinjauan Harakah pada laman petisyen atas talian itu mendapati jumlah pengunjung yang menandatangani petisyen adalah seramai 53,174.
 
Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah baru-baru ini telah menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan untuk menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India.
 
Antara cadangannya adalah supaya universiti itu dibuka kepada bukan Bumiputera. -HARAKAHDAILY 29/5/2018
- Advertisement -