Apa niat sebenar Datuk Kadir Jasin?

- Advertisement -

ADA kegopohan di dalam tulisan terbaru Datuk A. Kadir Jasin (AKJ) kerana ia mengandungi beberapa perkara yang boleh mengundang persepsi buruk dan mengundang kebencian terhadap institusi raja-raja.

- Advertisement -

Walaupun mungkin pada dasarnya cadangan penambahbaikan Institusi Raja berperlembagaan mempunyai asas yang boleh difikirkan bersama namun cara beliau cuba membentuk persepsi untuk mendapatkan sokongan terhadap cadangan tersebut dilihat agak gopoh dan boleh mengundang kebencian yang tidak perlu terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

Antara perenggan yang kelihatan agak gopoh ialah – “Dalam keadaan di mana hidup rakyat susah dan kewangan negara sempit, kerajaan tidak boleh sekali-kali membazirkan wang untuk sesiapa pun. Biarlah saya kata macam ini: Istana-istana yang ada itu sudah mewah.

Raja-raja juga tidak kekal. Yang di-Pertuan Agong misalnya boleh disingkirkan oleh Majlis Raja-raja dengan lima daripada sembilan Raja-raja Melayu menyokong ketetapan berkaitan dengannya.”

Apakah niat beliau untuk membangkitkan ini di kala masih adanya amalan penggunaan jet peribadi dan aset kerajaan untuk keluarga dalam kalangan pimpinan PH yang tidak membantu menjimatkan kewangan negara?

PAS faham kerajaan Pakatan Harapan menghadapi cabaran yang kuat untuk memenuhi janji-janji manifestonya yang termasuk memansuhkan GST serta tol lebuh raya di dalam 100 hari pentadbirannya, tapi ini bukan alasan untuk menghalakan senapang ke arah Institusi Raja-raja Melayu sewenang-wenangnya.

Saya yang mewakili PAS telah pun mengeluarkan kenyataan pada 26 Mei 2018 agar semua pihak, dalam apa sahaja pertikaian, menghormati Institusi Raja-raja kerana inilah institusi yang menjadi payung kepada rakyat, melangkaui semua agama, bangsa, bahasa, fahaman politk dan sebagainya. Ia harus kekal sebagai satu-satunya institusi yang bebas daripada apa-apa sentimen dan pengaruh tertentu.

Atas hasrat tersebut maka PAS atas dasar sangka baik berharap AKJ dapat lebih berhati-hati dalam membuat sebarang teguran kepada Institusi Raja-raja tanpa melibatkan cubaan bermain dengan emosi rakyat yang boleh mengundang kebencian yang tidak perlu.

PAS bersetuju semua pihak berautoriti termasuk raja-raja perlu menunjukkan contoh yang baik di dalam aspek kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran sepanjang masa. Ini adalah tuntutan yang wajib. Nasihat boleh diberi dalam bentuk membina berbanding bentuk menghina dan memberikan persepsi buruk.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 29/5/2018

- Advertisement -