Umat diseru bersatu pertahan institusi Islam

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah negeri Kedah (Ummah Kedah) memandang serius berkaitan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dalam negera ini yang membuat tuntutan dan mendesak kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kononnya demi kesejahteraan rakyat, mempertikaikan peruntukkan dana awam bagi membiayai kos penguatkuasaan agama Islam, di samping menuntut supaya operasi yang membendung kegiatan khalwat dalam kalangan umat Islam dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia dalam konteks masyarakat Liberal.

- Advertisement -

Ummah Kedah berpendirian bahawa desakan serta tuntutan pihak berkenaan adalah suatu tindakan yang melampau dan bersifat “ancaman” serta mempersoalkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan, dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri-negeri. Sekali gus menyentuh perkara sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini.

Ummah Kedah juga berpendapat bahawa pihak berkenaan seolah-olah memperkecilkan peruntukkan yang terkandung di dalam Perlembangan Malaysia, Perkara 3(1) menjelaskan kedudukan Raja-raja sebagai ketua agama di negeri, manakala Perkara 3(2) Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Selain itu Perkara 3(5) juga menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan suatu majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Ditegaskan juga bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Di mana, peruntukan itu menggariskan bahawa adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan Institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Bagi Ummah, Jakim merupakan sebuah agensi kerajaan yang sangat penting bagi mengurus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan serta urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia tanpa sama sekali mencampuri urusan agama-agama lain yang bebas diamalkan di negara ini.

Ummah juga ingin mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu di negara ini supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal umat Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan. Tindakan ancaman yang melampau tersebut bakal mengundang rasa gelisah di kalangan umat Islam serta mengganggu keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru, Ummah ingin mengajak seluruh umat Islam merentasi sempadan politik serta status quo dalam masyarakat, agar bersatu mempertahankan institusi agama Islam yang wujud di negara ini dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ummah juga turut mengingatkan kerajaan baharu PH supaya lebih peka dan tidak melayan sebarang tuntutan serta desakan dari mana-mana pihak yang bertujuan meruntuhkan institusi agama Islam serta hal ehwal berkaitan agama Islam di negara ini.

Sekian, terima kasih.

USTAZ NOOR HAKIMI AB HALIM
Pengerusi
UMMAH Kedah – HARAKAHDAILY 28/5/2018

- Advertisement -