Populisme, sebuah evolusi politik demokrasi 

- Advertisement -

KITA tidak boleh nafikan sama sekali akan pengaruh Barat yang diterajui oleh Amerika dalam mencorak senario politik khususnya ke atas negara-negara umat Islam.

- Advertisement -

Mereka mahu memastikan dasar Liberal Demokratik anutan mereka, turut dianut oleh negara-negara dan bangsa-bangsa jajahan yang mereka takluk secara ideologi. Justeru apa-apa perubahan iklim politik yang berlaku ke atas mereka, turut berjangkit ke atas kita.

Jangkaan awal

Barat awal-awal telah menjangkakan sampai satu masa, manusia akan bersaing dalam medan politik tanpa ideologi. Daniel Bell telah menulis sebuah buku bertajuk ‘The End Of Ideology‘ seawal tahun 1960, mengupas betapa ideologi menjadi beban bagi politik sesebuah masyarakat yang semakin kompleks pada masa akan datang.

Pembawakan yang longgar tanpa terikat dengan ideologi serta bebas mengamalkan Pragmatisme perlu diteroka untuk membentuk corak politik baharu.

Penemuan awal Populisme

Pada 1969, Ghita Ionescu dan Ernest Gellner telah mengemukakan jangkaan, bahawa politik dunia sedang dibayangi oleh Populisme. Maka sejak itu, Pemikir-pemikir Barat mencari definisi dan Konsep Populisme yang bakal diterap di dalam politik demokrasi.

Pada tahun 2016 Jan Werner Muller telah menulis sebuah buku berjudul ‘What Is Populism?” yang menghuraikan topik baharu ini dengan agak teliti.

Bagaimana ia beroperasi

Politik tanpa terikat kemas dengan ideologi jelas adalah Politik Pragmatik. Bertujuan asalkan boleh memanfaatkan sokongan rakyat. Sementara kaedah manipulasi persepsi rakyat, merupakan ciri utama politikus yang Populis.

Emosi dijadikan antara instrumen utama dalam menjayakan Politik Populisme. Sentimen yang boleh menimbulkan ketakutan, membakar amarah dan mengundang kekecewaan adalah resepi istimewa Populisme. Dari adunan tersebut dapat meledakkan pemberontakan politik.

Politikus yang Populis gemar menggunakan tema rakyat bagi menggambarkan mereka kononnya mewakili golongan yang tertindas.

Hilangnya rasional

Dari aspirasi tersebut, mereka mendidik rakyat agar bersentimen dan beremosi. Sekali gus menerapkan budaya agar jangan berfikir secara kritikal. Sebaliknya ikut sahaja arus yg telah dibina. Dalam erti kata lain, Populisme sama sekali tidak membudayakan ilmu dalam menguruskan satu-satu permasalahan. Maka lahirlah rakyat dan pengikut yang tidak rasional dalam memilih.

Bahkan jika ada yang mengajukan persoalan kritikal walaupun mempunyai asas, bakal dituduh sebagai golongan yang tidak bersama-sama dengan aspirasi majoriti. Sementara itu, semua permasalahan perlu diolah secara simplistik agar kelak mudah dimanipulasi.

Pada masa yang sama, golongan Elitis yang mengaplikasikan Populisme gemar menghebahkan kecemerlangan, pencapaian dan karismatik yang ada pada batang tubuh mereka. Walaupun selalunya apa yang dihebahkan itu tiada kaitan langsung dengan permasalahan politik yang perlu diurus. Lantas orang ramai menganggap politikus seperti itulah yang paling layak diundi, hingga mereka terlupa untuk bertanya:

“Sebenarnya di sebalik karismatik kamu, apakah idea dan solusi realistik yang boleh kamu tawarkan kepada kami untuk permasalahan ini?”

Maka yang akan dinaikkan adalah politikus-politikus yang bijak membina kariernya, tetapi bodoh dalam menyelesaikan masalah politik negara dan organisasinya.

Sedari gelombang baharu

Kita harus cermati perkembangan ini. Senario Populisme telah mengubah landskap politik di negara-negara Barat. Perubahan yang merosakkan corak politik. Menghilangkan nilai ilmu dan rasional. Ia juga kelihatan menunjukkan kesan besar dalam PRU14 baru-baru ini. Rakyat membuat perubahan tampuk kepimpinan, namun tidak memperlihatkan perubahan dasar yang signifikan.

Wabak Populisme juga turut dikesan meresap ke dalam kumpulan-kumpulan Islam seluruh dunia. Hinggakan dalam kajian Dominic Muller terhadap pergerakan Islam di Malaysia mendakwa, wujud budaya yang diistilahkan sebagai Pop Islamisme. Sinisnya, ia adalah sebuah proses normalisasi dari menekankan perihal pelaksanaan Undang-undang Syariah kepada penganjuran persembahan gitar elektrik.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD 
28 Mei 2018. – HARAKAHDAILY 28/5/2018 

FB IMG 1527496365384

- Advertisement -