PAS Petra Jaya rai Gawai, gerak bantuan

- Advertisement -

PETRA JAYA: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Petra Jaya telah mengadakan program Raikan Gawai di Kampung Siol Kandis, di sini semalam.

- Advertisement -

Program itu diadakan sempena Hari Gawai yang bakal tiba beberapa hari lagi di mana disambut di kampung mahupun di bandar secara meriah.

Sambutan tradisi tahunan oleh masyarakat kaum Iban dan Bidayuh itu diraikan sempena tamatnya musim menuai padi di Sarawak.

Yang DiPertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan berharap, menerusi kunjungan tersebut mengeratkan hubungan PAS khususnya rakan DHPP di negeri itu.

“Saya juga berharap agar semua rakan DHPP menjadi agen memperkenalkan PAS dan seterusnya menyebarkan mesej “PAS Untuk Semua” dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” serunya.

Sementara itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Petra Jaya turut menggiatkan aktiviti ziarah menemui masyarakat.

Dipimpin Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang, fokus lawatan diadakan terhadap kaum wanita dan golongan kurang berkemampuan.

Antara dikunjungi adalah di Samariang Batu, Semerah Padi, Samariang Pinggir, Kampung Gita dan Sungai Midin menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Selain mengeratkan hubungan dan membantu masyarakat, program tersebut juga menjadi wadah kepada mereka yang berniat menyumbang. -HARAKAHDAILY 28/5/2018

- Advertisement -