Geoeskatologi (12): Kota Bisan

- Advertisement -

KOTA Bisan atau dalam Bahasa Ibrani disebut Beit She’an terletak di Utara Palestin dan sempadan Jordan Syria. Berada di persimpangan Lembah Sungai Jordan dan Lembah Jezreel. Kedudukannya adalah antara Baitulmaqdis dan Tasik Galilee. Berjiran dengan Bukit Golan yang menjadi sumber utama air bersih Wilayah Syam.

- Advertisement -

Kota Bisan merupakan antara tempat bersejarah di dunia. Di sana terdapat kota lama yang dipercayai wujud sejak zaman gangsa. Terdapat kesan peninggalan Tamadun Firaun Mesir Purba (Firaun) dan juga Greek di sana. Menjadi penempatan Bangsa Kanaan yang terkenal dalam sejarah. Selepas era kolonialisasi, Kota Bisan menjadi kawasan majoriti Yahudi.

Kota lama ini indah dan subur dengan kebun kurma dan bermacam hasil pertanian. Mengikut maklumat yang diterima dari penduduk Palestin, kurma di Bisan kini masih lagi berbuah. Malangnya, penghasilan kurma menurun dengan mendadak berbanding sebelum ini. Antara puncanya adalah kawasan ini semasa awal penjajahan Zionis adalah medan perang antara Arab dan Israel. Banyak kawasan tanaman yang musnah. Punca lain juga, kawasan ini diserang sejenis binatang perosak yang menyebabkan banyak pohon mati. Sungai Jordan yang mengairi Kota Bisan hingga ke Tasik Galilee juga semakin cetek dengan begitu drastik kebelakangan ini, menjadi salah satu faktor pengurangan kurma Bisan.

Menurut Hadis Nabi S.A.W yang dinyatakan pada siri lepas, antara tanda kemunculan Dajjal adalah kurma di Kota Bisan tidak lagi berbuah. Menandakan ketandusan kota tersebut. Ia berlaku selari dengan Tasik Galilee yang tidak akan lagi berair. Namun tidak dinyatakan secara jelas apakah keadaan mata air Zugor.

Fenomena kemarau menjadi salah satu di antara kejadian yang mendekati zaman keluarnya Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

إن قبل خروج الدجال ثلاث سنوات شداد، يصيب الناس فيها جوع شديد، يأمر الله السماء في السنة الأولى أن تحبس ثلث مطرها، ويأمر الأرض أن تحبس ثلث نباتها، ثم يأمر السماء في السنة الثانية فتحبس ثلثي مطرها، ويأمر الأرض فتحبس ثلثي نباتها، ثم يأمر السماء في السنة الثالثة فتحبس مطرها كله، فلا تقطر قطرة، ويأمر الأرض فتحبس نباتها كله، فلا تنبت خضراء، فلا يبقى ذات ظلف إلا هلكت؛ إلا ما شاء الله ، قيل: فما يعيش الناس في ذلك الزمان؟ قال: التهليل والتكبير، والتحميد، ويجزئ ذلك عليهم مجزأة الطعام

“Sesungguunya sebelum keluar Dajjal akan berlaku 3 tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan. Pada tahun kedua, Dia akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan. Pada tahun ketiga, tuhan akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan. Kesemua tanah akan kering-kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil, takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan.”

[HR Ibn Majah]

Keadaan kering ini membuatkan manusia semakin mudah menjadi pengikut Dajjal. Dalam keadaan terdesak dan memerlukan makanan, Dajjal pula mampu menawarkan kemewahan dunia. Teknologi ataupun sihir yang dimilikinya mampu membuatkan sesuatu tempat subur dan suatu tempat kering. Sabda Rasulullah S.A.W:

فَيَأْتِي عَلَى الْقَوْمِ فَيَدْعُوهُمْ فَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ ، وَالأَرْضَ فَتُنْبِتُ ، فَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ – الماشية – أَطْوَلَ مَا كَانَتْ ذُرًا – الأعالي والأسنمة – وَأَسْبَغَهُ ضُرُوعًا ، وَأَمَدَّهُ خَوَاصِرَ – كناية عن الامتلاء وكثرة الأكل – . ثُمَّ يَأْتِي الْقَوْمَ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قَوْلَهُ فَيَنْصَرِفُ عَنْهُمْ فَيُصْبِحُونَ مُمْحِلِينَ لَيْسَ بِأَيْدِيهِمْ شَيْءٌ مِنْ أَمْوَالِهِمْ .

“Dajjal akan mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut mengikutinya. Maka dia memerintahkan langit untuk hujan dan bumi untuk mengeluarkan tumbuhan. Maka binatang-binatang peliharaan mereka menjadi gemuk dan sihat. Kemudian dia mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut menolak dan meninggalkan Dajjal. Keesokan harinya mereka dapati tanaman mereka tidak menjadi.”

[HR Muslim]

Mengikut Hadis yang lain, Dajjal akan menawarkan syurga dan neraka. Kita disuruh memilih nerakanya. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَعَهُ نَهْرَانِ يَجْرِيَانِ أَحَدُهُمَا رَأْيَ الْعَيْنِ مَاءٌ أَبْيَضُ وَالآخَرُ رَأْيَ الْعَيْنِ نَارٌ تَأَجَّجُ ، فَإِمَّا أَدْرَكَنَّ أَحَدٌ فَلْيَأْتِ النَّهْرَ الَّذِي يَرَاهُ نَارًا وَلْيُغَمِّضْ ثُمَّ لْيُطَأْطِئْ رَأْسَهُ فَيَشْرَبَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مَاءٌ بَارِدٌ

“Di tangan Dajjal terdapat dua sungai. Salah satunya sungai berair jernih dan satu lagi berupa api yang marak. Sekiranya kamu sempat pada zaman itu maka pergilah ke arah sungai yang berupa api itu. Tutuplah mata dan tenggelamkan kepala lalu minumlah darinya. Sesungguhnya itu adalah air yang sejuk.”

[HR Muslim]

Keadaan akan berlanjutan sehinggalah Imam Mahdi dan tenteranya berjalan menewaskan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

يخرجُ في أُمتي المهديُّ ، يسقيهِ اللهُ الغيثَ ، وتُخرِجُ الأرضُ نباتَها ، ويُعطِي المالَ صِحاحًا ، وتَكثُرُ الماشيةُ ، وتعظمُ الأمَّةُ ، يعيشُ سبعًا أو ثمانيًا ، يعني حِجَجًا

“Imam al-Mahdi bakal keluar untuk umatku. Allah bakal menurunkan hujan bersamanya. Allah juga bakal mengeluarkan tumbuhan dari bumi. Akan dilimpahi dengan harta. Binatang peliharaan akan menjadi banyak. Umat ini akan menjadi agung. Dan dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun, sebagai hujah.”

[HR Hakim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
10 Ramadan 1439
26 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 26/5/2018

 

 

- Advertisement -