Tarikh asal Kemerdekaan Tanah Melayu

- Advertisement -

SEMENJAK kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada 28 Ogos 1511M, Tanah Melayu telah dijajah secara berperingkat dalam tempoh 446 tahun sehingga 1957M. Dalam tempoh ini, kuasa-kuasa penjajah seperti Portugis telah menguasai Melaka sejak 1511M hingga 1641M dan diikuti oleh Belanda (1641-1824M), sebelum kedatangan British di Pulau Pinang pada 1786M dan Singapura (1819M). British kemudian secara berperingkat menguasai wilayah-wilayah lain bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874M.

- Advertisement -

Dalam tempoh penguasaan British ini, telah tercetus Perang Dunia Kedua pada akhir 1941M dan British telah menyerah kalah di Malaya. Jepun telah menguasai Tanah Melayu yang disebut sebagai Malai dalam Bahasa Jepun antara 15 Februari 1942M hingga 15 Ogos 1945M. Sepanjang tempoh pendudukan Jepun ini, pejuang-pejuang Melayu telah berusaha menuntut kemerdekaan dan membebaskan negara ini dari penjajahan Bangsa kuffar.

Pergerakan Politik Melayu dan tuntutan kemerdekaan

Semenjak pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu, pergerakan politik agak terbatas kerana semua pertubuhan politik diharamkan. Dalam bulan Disember 1943M, Ibrahim Haji Yaacob telah dilantik sebagai Ketua Tentera Sukarela, Giyu-gun dan Giyu-tai, yang dikenali juga sebagai Pembela Tanah Air (PETA). Mereka juga menerbitkan Berita Malai dan Fajar Asia sebagai media yang pro Jepun. Di Singapura, Dr Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Gunseikanbu, Markaz Tentera Jepun, sebelum dipindahkan ke Taiping.

Dari Guseikanbu, Dr Burhanuddin al-Helmy berjaya mengadakan dua Persidangan ulamak di Singapura (1943M) dan Kuala Kangsar (1944M) yang menggerakan penyatuan umat Islam. Ibrahim Haji Yaacob bersama Mustapha Hussein telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) dalam bulan Mei 1945M untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia. Pada 9 September 1944M, Jepun telah mengumumkan untuk memberi kemerdekaan kepada Indonesia (terutama Jawa). Ibrahim Haji Yaacob selaku Ketua KRIS telah merancang untuk merdeka serentak dengan Indonesia.

Piagam Taiping: Perlembagaan merdeka

Dr Burhanuddin al-Helmy dan Mustapha Hussein telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Jeneral Itagaki di Markaz Besar Tentera Jepun di Taiping sepanjang 1945M bagi menuntut kemerdekaan. Pada asasnya, Jepun bersetuju kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu dan meminta draf perlembagaan disediakan. Dr Burhanuddin al-Helmy berjaya menyiapkan draf Perlembagaan Tanah Melayu merdeka yang dikenali sebagai Piagam Taiping, dan dipersetujui oleh Jepun.

Ibrahim Haji Yaacob dalam rundingannya dengan Jeneral Itagaki telah mengambil langkah-langkah kemerdekaan tersebut. Pada April 1945M, Ibrahim Haji Yaacob telah berunding dengan Sukarno untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia. KRIS pula telah bersetuju supaya perisytiharan kemerdekaan serentak diadakan pada 17 Ogos 1945 di Kuala Lumpur, dengan Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai calon Perdana Menteri.

Serangan atom AS dan penangguhan kemerdekaan

Pada 12 Ogos 1945M, Ibrahim Haji Yaacob bersama Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengadakan pertemuan dengan Sukarno dan Dr Hatta di Taiping, supaya kedua tokoh Indonesia tersebut dapat memastikan Tanah Melayu juga turut dimasukkan dalam rancangan kemerdekaan tersebut. Sukarno dan Dr Hatta dalam perjalanan ke Markaz Besar Jepun bagi Asia Tenggara di Saigon telah bersetuju supaya 17 Ogos 1945M menjadi tarikh kemerdekaan bersama.

Ketika para pejuang Melayu sedang rancak mengaturkan perisytiharan kemerdekaan yang jatuh pada 9 Ramadan 1346 (17 Ogos 1945) ini, Amerika Syarikat telah mengebom Hiroshima dan Nagasaki pada 6 Ogos 1945M, diikuti oleh serangan Soviet Union ke atas Manchuria pada 9 Ogos 1945M, yang menyebabkan Jepun terpaksa menyerah kalah pada 15 Ogos 1945M. Kerana tindakan Jepun menyerah kalah dua hari lebih awal, Ibrahim Haji Yaacob telah lari ke Indonesia dan rencana kemerdekaan Tanah Melayu telah tergendala. Di Indonesia, Sukarno tetap memproklamirkan kemerdekaan mereka, tetapi Tanah Melayu dikuasai semula oleh British melalui British Military Administration (BMA) (1945-1946M), Malayan Union (1946-1948M) dan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1957M), sebelum memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957M.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
9 Ramadan 1439 / 25 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 25/5/2018

- Advertisement -