Geoeskatologi (9): Ghouta

- Advertisement -

GHOUTA merupakan satu daerah di Pinggir Damsyik (Rif Dimashq). Terletak di antara ibu kota Damsyik sebelah Barat dan Negeri Homs sebelah Timur, serta hampir dengan sempadan Jordan.

- Advertisement -

Ghouta terkenal dengan kesuburan dan keindahan alamnya. Memiliki sumber air bermutu tinggi sejak zaman lampau dikenali sebagai Lembah Barada. Cuaca yang nyaman dan dipenuhi rimbunan pohon berbuah, disamping tanaman bermutu tinggi. Sejarawan menganggap Ghouta sebagai salah satu kawasan paling subur di dunia. Malah ada yang menggelarkan Ghouta sebagai syurga dunia.

Ghouta mula berkonflik sejak 2012 pada era Arab Spring. Sehingga 2014, hampir keseluruhan Ghouta dikuasai berbagai kumpulan daripada fraksi IS, FSA, al-Qaeda dan lain-lain. Selain berperang sesama sendiri, Mereka turut menjadi ancaman utama kepada rejim Syria yang terpisah beberapa batu sahaja dari Pusat Pentadbiran Damsyik.

Bermula 2014, Kerajaan Syria menjalankan operasi ketenteraan besar-besaran bagi menawan kembali Ghouta. April 2018, tentera telah mengumumkan bahawa Ghouta telah bebas daripada semua penentang kerajaan. Tetapi atas dakwaan tentera Syria melanggari hak asasi manusia, kuasa Barat dikepalai US mengambil peluang untuk masuk mengeruhkan lagi keadaan.

Ghouta bakal menjadi kubu pangkalan orang beriman di akhir zaman. Sabda Rasulullah S.A.W:

إن فسطاط المسلمين ، يوم الملحمة ، بالغوطة إلى جانب مدينة يقال لها : دمشق ، من خير مدائن الشام

“Sesungguhnya kubu orang beriman pada Hari Malhamah adalah di Ghouta, bersebelahan kota yang dipanggil Damsyik. Ia adalah sebaik-baik kota di bumi Syam.”

[HR Abu Daud]

Malhamah merupakan perang besar. Sesetengah mengatakan sebagai Perang Dunia Ketiga. Ada yang berpendapat sebagai Perang Nuklear. Dalam Eskatologi Kristian, ia dikenali sebagai Armageddon. Ia adalah tanda masa yang akan menentukan di mana tempat bertahan umat Islam di akhir zaman nanti.

Persoalan mengenai jangkaan berlaku Malhamah masih tidak dapat dijawab sehingga hari ini. Namun banyak Hadis yang menyebutkan tentang tanda-tanda Malhamah. Contohnya Hadis yang telah kita huraikan:

Hadis ini menyebut bahawa Malhamah bakal berlaku selepas kepesatan Baitulmaqdis dan kejatuhan Madinah. Kita telah membahaskan isu ini pada Siri 2 dan 3.

Mengenai kubu pangkalan orang beriman, terdapat Hadis Eskatologi lain yang membincangkan tentang perkara ini. Sabda Rasulullah S.A.W ketika menyebut tentang fitnah al-Ahlas:

 قال هي هرب وحرب ، ثم فتنة السراء دخنها من تحت قدمي رجل من أهل بيتي ، يزعم أنه مني ، وليس مني ، وإنما أوليائي المتقون ، ثم يصطلح الناس على رجل كورك على ضلع ، ثم فتنة الدهيماء لا تدع أحدا من هذه الأمة إلا لطمته لطمة ، فإذا قيل : انقضت تمادت ، يصبح الرجل فيها مؤمنا ، ويمسي كافرا حتى يصير الناس إلى فسطاطين : فسطاط إيمان ، لا نفاق فيه ، وفسطاط نفاق ، لا إيمان فيه . فإذا كان ذاكم فانتظروا الدجال من يومه أو غده

“Fitnah al-Ahlas adalah kekacauan dan peperangan. Kemudian datang fitnah kesenangan. Asapnya datang dari kaki lelaki dari keturunanku, mendakwa dia sebahagian dariku sedangkan tidak. Bahkan umatku adalah para Auliya yang bertaqwa. Kemudian manusia melantik seorang pemimpin yang tidak konsisten, umpama bertenggek di tulang rusuk yang bengkok. Kemudian tiba fitnah Duhaima’ yang melanda semua umat ini. Apabila dikatakan ia telah hilang, sebenarnya ia semakin merebak. Seseorang boleh beriman di pagi hari lalu kufur di petang hari. Sehinggalah manusia terbahagi kepada dua pangkalan; pangkalan iman yang tiada langsung Munafiq, dan pangkalan Munafik yang tiada langsung iman. Apabila berlaku demikian, maka nantikanlah Dajjal hari tersebut atau esok.”

[HR Abu Daud]

Menurut petunjuk Hadis-hadis yang lain, peristiwa umat Islam berkubu ini adalah bersama al-Mahdi. Ia didahului dengan berbagai peristiwa seperti baiah di Makkah, tentera Sufyani, Perang India, Pakatan Islam-Rom, Perang Tanah Rom, pembukaan Constantinople dan Perang Tanah Parsi yang sebahagian telah dikupas dalam Siri-siri lepas dan sebahagian akan dikupas pada Siri-siri akan datang. Selepas peristiwa bertahan itulah tiba pertolongan Allah dengan turunnya Nabi Isa seperti yang dihurai pada Siri 8.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
9 Ramadan 1439
25 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 25/5/2018

 

 

- Advertisement -