Qiamulail

- Advertisement -

MEMPERJUANKAN Islam bukanlah suatu yang mudah dan ringan. Namun ia mesti dilunaskan oleh setiap kita yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah swt yang layak disembah. Kita perlukan kekuatan dalaman dan luaran untuk menggalas tanggungjawab perjuangan suci ini.

- Advertisement -

Saban ketika, pejuang Islam akan dihadapkan halangan dan rintangan yang tidak sedikit. Ini adalah sunnatullah. Dihina, dicaci dan dimaki hamun menjadi rutin dalam diary harian seorang pejuang. Tambah pula di zaman siber ini. Dunia tanpa sempadan menjadikan ruang tekanan dan ancaman kepada pejuang semakin luas, lebar dan ganas.

Antara kapsul yang membekalkan kekuatan utama untuk pejuang mendepani berat beban perjuangan ini ialah qiamulail iaitu bangun menghidupkan malam dengan amal ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah swt seperti solat, zikir, baca al Quran dan lainnya. Inilah yang telah dipertegaskan oleh Allah swt kepada Nabi saw. Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا
نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Wahai orang yang sedang berselimut, Bangunlah menghidupkan malam kecuali sedikit (untuk isterehat). Iaitu separuh atau kurang sedikit dari separuh. Atau lebih sedikit daripadanya dan bacalah Al Quran dengan bacaan yang baik (tartil). Sesungguhnya kami akan turunkan ke atas mu wahyu yang mengandungi perintah yang berat. (Surah Al Muzammil: Ayat 1 – 5)

Ramadhan memiliki suasana yang paling baik untuk kita bangun malam dan menghidupkannya dengan tahajjud, munajat dan bacaan ayat-ayat suci al Quran. Insya Allah, ia menjadi sumber kekuatan yang mantap dan jitu mendepani ujian getir perjuangan Islam ini. Malah Allah swt menjanjikan kedudukan terpuji bagi mereka yang melakukannya. Firman Allah swt:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (Surah Al Isra’: Ayat 79)

Dari Abdullah bin Salam Rha bahawa Nabi SAW bersabda:

أيُّها النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَ أَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَ النَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلوا الجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Wahai manusia, sebarluaskanlah ucapan salam, berilah makan dan solatlah pada waktu malam detik manusia sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat. (Riwayat Imam Tirmizi)

Sebagai seorang pejuang, pasti sahaja detik seperti ini juga sangat diperlukan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan munajat mengadu hal mengenai perit getir perjuangan serta mengharapkan pertolongan dari Allah swt. setelah dihimpit pelbagai tekanan dan ancaman.

Nasrudin Hassan
Musolla Ar Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah – HARAKAHDAILY 23/5/2018

- Advertisement -