Gopoh PH boleh akibatkan ekonomi jejas

- Advertisement -

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) meyakini Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak menjangka mereka diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia dalam PRU ke-14 baru-baru ini. Hakikat ini dapat diperhatikan dengan jelas, apabila mereka kelihatan langsung tidak bersedia untuk segera membentuk Kabinet sejurus selepas mencapai kemenangan.

- Advertisement -

Pembentukan barisan Kabinet oleh PH jelas sekali kelam-kabut apabila mereka sehingga hari ini masih belum menamakan dengan lengkap Kementerian-kementerian yang perlu ada. Pada peringkat awal, mereka hanya menamakan 10 Kementerian yang sewajarnya ada seperti mana kerajaan terdahulu, kemudian ditambah tiga lagi Kementerian.

Selain daripada tiada persediaan membentuk Kabinet, PH juga tidak sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini telah bersiap dengan Kabinet bayangan. Sehingga hari ini, PH masih belum berjaya melengkapkan senarai barisan Kabinet mereka. Lebih malang lagi, seorang yang telah pun mengangkat sumpah Menteri Besar tiba-tiba dinamakan sebagai Menteri di peringkat Pusat.

Dalam keadaan kelam-kabut membentuk barisan Kabinet, kerajaan pula dilihat begitu tergopoh-gapah untuk mengambil tindakan populis menghukum pimpinan dan pegawai kerajaan rejim lama untuk meraih persepsi politik. Tindakan populis ini telah menyebabkan keyakinan umum terhadap Profesionalisme jentera kerajaan boleh terhakis.

Malah lebih daripada itu, tindakan tergopoh-gapah mahu memberhentikan projek-projek pembangunan termasuk yang melibatkan pelaburan asing, boleh menghilang keyakinan antarabangsa dan domestik terhadap hala tuju ekonomi Malaysia. Keutamaan PH menyegerakan tindakan populis ini, di masa yang sama lambat membentuk kerajaan akan merugikan negara.

PPP berpandangan PH yang mahu menampilkan pemerintahan mereka sebagai sebuah ‘Malaysia Baharu’ perlu memberi tumpuan dahulu kepada pembentukan sebuah Kabinet yang mantap dan diyakini. Mereka perlu berpolitik sebagai sebuah kerajaan, bukan sebuah kerajaan yang masih bermentaliti pembangkang sehingga banyak keutamaan lain dikesampingkan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI 
Pengarah PPP

23 Mei 2018
7 Ramadan 1439 – HARAKAHDAILY 23/5/2018

- Advertisement -