Gesa wartakan Ulu Muda hutan tadahan air

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah yang baharu dilantik untuk mewartakan dengan segera Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) sebagai hutan tadahan air dan melindunginya sebab fungsi penting hutan ini kepada masyarakat dan alam sekitar.

- Advertisement -

Kami juga menggesa kerajaan negeri supaya mengkaji semula dan membatalkan sebarang lesen pembalakan yang mungkin telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini dan menghentikan semua aktiviti dalam kawasan yang mengancam fungsi sokongan hayatnya.

HSUM dan hutan-hutan di sekelilingnya adalah amat penting untuk seluruh negara. Meliputi kawasan seluas 106,418 hektar (ha), HSUM adalah kawasan tadahan air terbesar di wilayah utara, mengisi tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu.

Air mentah dari Ulu Muda juga mengalir melalui Sungai Muda ke Pulau Pinang. Liputan hutan di Ulu Muda ini amat kritikal dalam memenuhi keperluan air kira-kira 4.09 juta orang di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Air mentah yang berasal dari Ulu Muda juga penting untuk tanaman dua kali di kawasan penanaman padi di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, yang merupakan Jelapang Padi Negara.

Hutan ini juga memainkan peranan utama sebagai ‘penyerap karbon’ yang amat kritikal bagi menangani perubahan iklim.

Di bawah kerajaan sebelum ini, pembalakan telah merosakkan kawasan HSUM, dan seharusnya tiada lagi pembalakan dibenarkan di kawasan ini termasuk aktiviti pengeluaran seperti perlombongan dan kuari.

Memandangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya berjanji untuk memulihara hutan kita, penting sekali untuk Kerajaan Negeri Kedah mengambil tindakan segera untuk melindungi HSUM.

Memandangkan Kerajaan Persekutuan juga di bawah PH, langkah mesti diambil untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana menjaga hutan untuk kepentingan awam yang lebih besar, sebagai pertukaran bagi kehilangan hasil pendapatan daripada pembalakan atau aktiviti lain.

Terdapat dana yang boleh diperolehi di peringkat antarabangsa untuk melindungi hutan kita bagi tujuan menangani perubahan iklim dan memulihara biodiversiti, dan kerajaan Persekutuan dan Negeri mestilah mengambil peluang untuk memperolehi sumber ini.

Tiada lagi sebarang alasan untuk tidak mengambil tindakan dalam mewartakan HSUM sebagai hutan tadahan air.

Bertindak sekarang dan Selamatkan Ulu Muda!

S. M. Mohamed Idris
Presiden
Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 23/5/2018

- Advertisement -