Geoeskatologi (7): Syam

- Advertisement -

SYAM merujuk kepada kawasan sebelah Utara Asia Barat. Barat mengenali kawasan tersebut sebagai Levant. Bersempadankan Turki di Utara, Iraq di Timur, Tanah Arab di Selatan dan Laut Mediteranean di Barat. Selepas dijajah, kolonial membahagikan Syam kepada Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan.

- Advertisement -

Syam merupakan kawasan penting bagi pengkaji arkeologi dan sejarawan. Ini kerana kawasan ini menjadi sebahagian dari penempatan tamadun awal peradaban manusia (Mesopotamia). Tempat tinggal Bangsa Assyrian yang berjiran dengan Simerian, Akkadian dan Babylonian. Titik pertembungan kuasa-kuasa besar dunia sejak zaman dahulu lagi. Juga bumi ramai Anbiya’ dan tempat kelahiran Bani Israil (keturunan Nabi Yaakub A.S).

Asimilasi Tamadun Islam menyebabkan keseluruhan Syam hari in bertutur dalam Bahasa Arab. Pada era kolonialisasi, Perjanjian Sykes-Picot memperuntukkan Jordan dan Palestin berada di bawah pengaruh British sementara Syria dan Lubnan di bawah pengaruh Perancis.

Terdapat banyak Hadis Eskatologi yang membicarakan tentang Syam. Juga tempat-tempat di bawah Syam seperti Damsyik, Ghouta, Bab Ludd, Dabik, Furat, Bisan, Galilee, Tiberias dan lain-lain. Khusus mengenai Syam, antara yang dinyatakan Nabi S.A.W adalah tempat terhimpunnya tentera terbaik:

إنَّكم ستَجِدونَ أجنادًا ، جُندًا بالشَّامِ ومِصرَ والعِراقِ واليَمنِ ، قالوا : فَخِرْ لنا يا رسولَ اللهِ ! قال : عليكُم بالشَّامِ ، قالوا : إنَّا أصحابُ ماشيةٍ ولا نُطيقُ الشَّامَ ، قال : فمَن لَم يُطقِ الشَّامَ فلْيلحَقْ بيمَنِه ، فإنَّ اللهَ قَد تكفَّلَ لي بالشَّامِ

“Sesungguhnya kamu akan mendapati terdapat beberapa pasukan tentera. Pasukan di Syam, di Mesir, di Iraq dan Yaman. Sahabat berkata pilihlah untuk kami Ya Rasulullah! Jawab baginda: Pilihlah Syam. Balas Sahabat, kami orang susah, tidak mampu ke Syam. Jawab baginda, jika tidak mampu ke Syam, maka pergilah ke Yaman. Sesungguhnya Allah telah menjaminku di Syam.”

[HR Bazzar]

Tetapi tidak diketahui apakah waktu yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. Boleh jadi telah berlalu, dan boleh jadi masih belum berlaku. Kita tidak boleh terlalu gopoh menetapkan maksud Hadis yang umum tanpa melihat sudut lain.

Terdapat Hadis yang menyatakan bakal keluar tentera Sufyani dari Syam yang memerangi al-Mahdi. Sabda Rasulullah S.A.W:

يكُونُ اخْتِلافٌ عِنْدَ مَوْتِ خَلِيفَةٍ، فَيَخْرُجُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ هَارِبًا إِلَى مَكَّةَ، فَيَأْتِيهِ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ مَكَّةَ فَيُخْرِجُونَهُ وَهُوَ كَارِهٌ. فَيُبَايِعُونَهُ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْمَقَامِ. وَيُبْعَثُ إِلَيْهِ بَعْثٌ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ، فَيُخْسَفُ بِهِمْ بِالْبَيْدَاءِ بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ. فَإِذَا رَأَى النَّاسُ ذَلِكَ أَتَاهُ أَبْدَالُ الشَّامِ وَعَصَائِبُ أَهْلِ الْعِرَاقِ فَيُبَايِعُونَهُ بَيْنَ الرُّكْنِ وَالْمَقَامِ. ثُمَّ يَنْشَأُ رَجُلٌ مِنْ قُرَيْشٍ أَخْوَالُهُ كَلْبٌ فَيَبْعَثُ إِلَيْهِمْ بَعْثًا فَيَظْهَرُونَ عَلَيْهِمْ وَذَلِكَ بَعْثُ كَلْبٍ، وَالْخَيْبَةُ لِمَنْ لَمْ يَشْهَدْ غَنِيمَةَ كَلْبٍ. فَيَقْسِمُ الْمَالَ وَيَعْمَلُ فِي النَّاسِ بِسُنَّةِ نَبِيِّهِمْ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيُلْقِي الْإِسْلامُ بِجِرَانِهِ فِي الْأَرْضِ. فَيَلْبَثُ سَبْعَ سِنِينَ ثُمَّ يُتَوَفَّى وَيُصَلِّي عَلَيْهِ الْمُسْلِمُونَ

“Bakal berlaku perselisihan saat kematian khalifah. Lalu muncul seorang lelaki (Imam Mahdi) daripada Madinah lari ke Makkah. Kemudian dia didatangi oleh penduduk Makkah lalu membawanya keluar dari rumah dalam keadaan beliau enggan. Beliau lalu dibaiah di antara Rukn Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim.

“Selepas itu datang satu pasukan dari Syam untuk memerangi beliau, lalu bumi menelan mereka ketika sampai di kawasan Baida’.

“Apabila manusia melihat peristiwa itu, datanglah para Wali Abdal daripada Syam dan pasukan-pasukan dari Iraq dan memberi baiah kepadanya.

“Kemudian muncul pula lelaki dari keturunan Quraisy dari sebelah bapa dan Kalb dari sebelah ibu untuk memerangi al-Mahdi, namun berjaya dikalahkan. Maka rugilah mereka yang tidak bersama pada ketika itu.

“Al-Mahdi membahagikan ghanimah, memimpin manusia mengikut Sunnah Nabi dan istiqamah dengan Islam. Beliau hidup selepas itu selama tujuh tahun. Kemudian dia dimatikan dan kaum Muslimin menyolatkannya.”

[HR Abu Daud]

Terlalu ramai kumpulan di seluruh Syam sekarang. Semuanya melaungkan perjuangan Islam. Apa yang menyedihkan, masing-masing berperang sesama sendiri. Pejuang Kurdi, IS, Al-Qaeda, FSA, Ahrar Syam, tentera Syria dan bermacam kumpulan lain. Kebanyakam menjadi proksi kuasa besar sama ada US dan Rusia serta negara sekitar seperti Turki, Saudi, Iran, Qatar dan sebagainya.

Jika benar Hadis pertama di atas memaksudkan tentera yang bakal muncul, sayugia ia bermaksud tentera al-Mahdi. Kerana di dalam Hadis yang lain, Syam atau secara lebih khusus Ghouta akan menjadi kubu umat akhir zaman. InsyaAllah diceritakan dalam siri seterusnya.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
7 Ramadan 1439
23 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 23/5/2018

 FB IMG 1527070410213

- Advertisement -