Teruskan projek ECRL demi rakyat

- Advertisement -

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Putrajaya sekarang berhak mengkaji semula kesemua projek yang membazir dan merugikan rakyat dan negara, tetapi jangan bersikap berdendam terhadap Pembangkang yang menerajui negeri-negeri.

- Advertisement -

Rakyat yang memilih PAS di Kelantan dan Terengganu tidak boleh dimangsakan dengan pelbagai kezaliman terhadap pemerintahan negeri-negeri ini bahkan sepatutnya Kerajaan Kelantan dan Terengganu diberi peruntukan lebih bagi menghargai ruang kebebasan demokrasi di negara ini.

Selain itu, Kerajaan PH mesti membebaskan diri dari bayangan rejim Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tidak mengulangi kesilapan pemerintahan BN. Sikap menganak tirikan Kerajaan Negeri pimpinan Pembangkang mesti ditolak tepi kerana rakyat sudah muak dengan budaya berpolitik sehingga mengorbankan kepentingan rakyat.

Dalam hal ini kita menghargai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH yang berjanji untuk memberi royalti minyak 20 peratus kepada Negeri Kelantan dan Terengganu. Tindakan ini penting sebagai tanda aras apakah PH mampu menunaikan janji di dalam manifesto ataupun tidak.

Antara projek tinggalan kerajaan BN adalah Projek laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL). Walaupun projek ini menelan belanja yang mahal bernilai RM 55 billion, namun disarankan agar projek ECRL diteruskan kerana ia adalah projek yang baik dan memberi keuntungan kepada rakyat dan Negeri Terengganu.

Suara hati telah disampaikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu dengan melihat kemudahan pengangkutan dan akses rakyat di masa hadapan. Mungkin yang perlu dikaji adalah dari segi kos pembinaannya, tetapi projek ini dilihat mampu memangkin sumber ekonomi Negeri Terengganu dan Kelantan.

Bagi PAS mana-mana projek yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat perlu diteruskan, walaupun ia dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu. Sikap Budaya Politik Matang dan Sejahtera melangkaui sempadan politik kepartian termasuk dalam mana-mana projek kerajaan.

Dalam keburukan kerajaan terdahulu, mungkin ada kebaikan yang boleh diambil. Jadi adalah lebih baik pandangan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu diambil kira bagi meletakkan kepentingan rakyat sebagai nombor satu.

Pasca PRU ke-14 ini, kita perlu bergerak ke hadapan dengan memperbanyakkan ruang diskusi dan perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Meskipun dipisahkan oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan dan Pembangkang, tetapi Negara Malaysia tetap satu yang menyatukan antara negeri-negeri.

Justeru, tidak wajar ada sikap melebihkan satu-satu negeri dengan meremehkan negeri-negeri tertentu yang lain. Ruang kerjasama sentiasa terbuka bagi memberi kebaikan kepada semua pihak di negara ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/5/2018

- Advertisement -