Sokong projek ECRL bersyarat – MB Terengganu

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kerajaan PAS Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Terengganu menyokong sebarang projek yang memberi keuntungan ekonomi kepada negeri dan rakyat.

- Advertisement -

Justeru katanya, mana-mana projek yang boleh menjana ekonomi negeri dan rakyat termasuk projek Rangkaian Rel Pantai Timur atau ECRL wajar diteruskan dengan bersyarat.

“Wajar (ECRL) diteruskan dengan syarat tidak membebankan kerajaan dan rakyat di negeri ini.

“Secara umumnya kita (kerajaan) berpandangan sebarang projek yang memberikan keuntungan ekonomi kepada negeri dan rakyat, kita (PAS) alu-alukan.

“ECRL adalah termasuk dalam projek yang boleh menjanakan ekonomi terutama kepada hentian satelite, tempat-tempat tertentu di mana stesen ini diadakan.

“Kita harap pertimbangan yang lebih serius dilakukan untuk memastikan sebarang projek yang seumpama itu diteruskan dan dapat memberi pulangan ekonomi tanpa membebankan pihak kerajaan dan negeri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil media selepas mengadakan tinjauan hampir setengah jam di Bazar Ramadan, Pekan Batu Enam, di sini kelmarin.

Hadir sama mengiringinya, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Alias Razak, Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid dan ramai lagi.

Projek Rangkaian Rel Pantai Timur atau ECRL itu bernilai kira-kira RM55 bilion melalui negeri Pantai Timur, sekali gus bakal mengubah landskap pembangunan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Laluan sepanjang 600 kilometer itu merentasi tiga negeri terbabit bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar dilaluinya.

Bandar kecil yang akan dibina stesen ECRL seperti Bentong, Mentakab, Gambang, Cherating di Pahang dan Chukai, Dungun, Kuala Telemong di Terengganu serta Tok Bali, Wakaf Bharu dan Tumpat di Kelantan. -HARAKAHDAILY 22/5/2018

- Advertisement -