Elak krisis pelantikan MB berpanjangan

- Advertisement -

MENTERI Besar merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran sesebuah kerajaan negeri. Sekiranya krisis pelantikan Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri ini berlanjutan, dibimbangi akan menimbulkan implikasi yang buruk di samping menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

- Advertisement -

Meskipun hampir dua minggu selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-14, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum memiliki seorang Menteri Besar serta gagal membentuk kerajaan negeri. Situasi ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di samping keresahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Justeru, PAS berharap agar Barisan Nasional yang telah diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, dapat segera mencari penyelesaian agar kemelut ini tidak berlarutan, demi kebaikan semua pihak, khususnya rakyat Negeri Perlis. Ketepikan segala bentuk kepentingan peribadi yang akhirnya menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

PAS juga ingin mengingatkan Barisan Nasional agar menghormati DYMM Tuanku Raja Perlis dalam membuat sebarang keputusan berhubung isu ini. PAS meletakkan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku Raja Perlis dalam membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dan Negeri Perlis.

Yang Bertanggungjawab,

YB MOHD SHUKRI RAMLI
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis
Adun Sanglang

22 Mei 2018M / 6 Ramadan 1439H – HARAKAHDAILY 22/5/2018

- Advertisement -