Ancaman Islam Liberal di Malaysia

- Advertisement -

MENGGUNAKAN rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita.

- Advertisement -

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolaborasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam Liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama melarang Wacana Mustapha Akyol, seorang Sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran cara fikir mereka.

Ciri-ciri fahaman Islam Liberal

●     Mereka menganut Fahaman Pluralisme

Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam Majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya Ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut Fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia, penularan Fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut:

a.     Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan Para ulamak dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan ulamak-ulamak tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan

b.     Kerana terpengaruh dengan Fahaman Pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO Muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis atau Suruhanjaya Antara Agama-agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Buddha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

●     Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah. Seorang peguam yang juga merupakan ahli Parlimen daripada parti kerajaan iaitu Zaid Ibrahim pernah mengungkapkan isu murtad ini dalam satu forum yang dianjurkan oleh Suhakam pada 9 September.

Bagi kelompok Islam Liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi:

“Tidak ada paksaan dalam agama.”

(al-Baqarah: 256)

Menurut tafsiran ulamak tafsir yang Muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya.

Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam dalil as-Sunnah yang Sahih iaitu sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya.”

(Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas).

●     Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman

Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulamak terdahulu. Tafsiran ulamak terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.

“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”.

(Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times)

Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak Hadis Nabi yang bermaksud:

“Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka”

Dengan mendakwa Hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal.

●     Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional

Pada pandangan mereka hukum Syariat Islam adalah ciptaan ulamak dan Fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah Hukum-hakam Syariat yang Qatie. Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah:

a.     Hukum Faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;

b.     Keharusan poligami bagi lelaki;

c.     Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita;

d.     Hukuman bunuh ke atas orang murtad;

e.     Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah;

f.     Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat;

g.     Hak mutlak suami untuk mencerai isteri;

h.     Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan

i.     Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.

Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulamak dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulamak dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.

●     Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di Pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain.

Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.

Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara.

Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang Muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.

Pasca PRU14 ini akan menyaksikan banyak tuntutan kelompok pendukung Islam Liberal dan Pluralisme agama akan digemakan. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH baru-baru ini.

Umat Islam mestilah mengambil cakna perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya. Ahzab moden sedang mengepung umat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata fitnah mereka. Bangkitlah wahai umat!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 21/5/2018

- Advertisement -