Tiga isyarat BN boleh tumbang

subky
- Advertisement -

SAYA tdak berani mengatakan BN akan kalah dalam PRU14 tetapi dalam semua ceramah kelompok yang saya sertai di Melaka, Labuan, Lembah Pantai, Gombak dan Wangsa Maju saya sebut tiga isyarat BN bermasalah untuk menang.

- Advertisement -

Pertama, Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agung Umno berkali-kali mengingatkan sebelum PRU agar penyokong partinya jangan sabotaj parti dan calon.

Kedua, Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar memaklumkan beberapa ketua bahagian Umno, Wanita dan Pemuda sedia tidak dicalonkan bagi memberi laluan kepada siapa saja yang parti calonkan.

Dan ketiga, 16 ahli Umno menyaman Umno menjelang pembubaran Parlimen atas alasan parti itu dikatakan tidak lagi sah pendaftarannya, bahkan Tun Daim Zainudin menyebutnya tidak sah.

Saya hanya menyangka ia adalah masalah untuk menang tetapi tidak berani mengatakan ia akan kalah seteruk yang kita saksikan sekarang.

Ingatan Tengku Mansor itu diulang berkali-kali. Ia tanda perkara itu adalah masalah besar kepada Umno. Jika ia padu, Tengku Adnan tidak membuat ingatan berkali-kali. Semua tahu perpecahan Umno lebih dua tahun lalu berikutan Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin terkeluar dari Umno dan menubuhkan parti baru. Orang yang menyokong sudah bersama pembangkang dan mereka bukan Umno lagi. Mereka tidak perlu diberi amaran lagi.

Yang Tengku Adnan bagi amaran iu ialah kepada orang yang masih Umno dan bekerja untuk Umno. Ia tanda pemimpin Umno itu sudah tidak percaya kepada ahli-ahlinya.

Dan memang benar antara yang mengundi Harapan itu ialah orang Umno. Seorang penyokong Umno di Kedah memberitahu saya, ahli Bersatu di tempatnya tidak berapa orang saja. Jauh sikitnya dibandingkan dengan Umno. Tetapi Umno kalah di tempatnya. Siapa yang mengundi Harapan jika tidak Umno?

Mungkin setelah dua PRU BN kalah di Selangor, pemimpin-peminpin Umno sedia tidak bertanding bagi memberi laluan kepada yang lain supaya calon mereka yang disepakati boleh menebus kekalahan dulu.

Tetapi sejak bila pemimpin Umno sedia memberi laluan kepada calon lain. Mereka bergoncang sama sendiri untuk menjadi calon. Yang tak terpilih biasanya akan khianati rakannya. Benarkan mereka berkorban untuk menang.

Sebenarnya ia adalah tanda mereka tidak yakin Umno boleh menang. Jarang ada orang Umno menolak menjadi calon kerana jadi calon itu seperti beroleh lombong emas.

Seoang ahli parti yang setianya untuk melihat partinya menang tidak peka sangat mentakwil kelemahan dalam partinya terutama menjelang pilihan raya. Jika Umno tidak mengadakan mesyuarat menjelang pilihan raya, sekalipun tidak ikut kemahuan perlembagaan parti, mungkin ada muslihatnya mesyuarat ditangguhkan.

Apakah ia boleh menyebabkan pendaftaran parti tidak sah, boleh ditolak ansur kerana yang utama ialah memenangi pilihan raya. Kita sangkat ahli-ahli Bersatu saja mengadu kepada ROS Bersatu tidak ikut peraturan. Umno juga rupanya menyaman parti kerana merasakan parti itu tidak sah.

16 orang itu mungkin tidak peka sangat sah atau tidak pendaftaran Umno, tetapi ia adalah protes kepada parti atas sebab-sebab tidak puas hati kepada pemimpin dan parti.

Adakah 16 orang itu saja di belakang tindakan menyaman Umno itu? Tidakkah mungkin ramai lagi seperti mereka. Menjelang pengundian Tun Daim pula timbulkan Umno tidak sah juga. Tindakan itu mereka buat bagi mengajar pemimpin-pemimpin Umno yang sudah melampaui batas.

Isyarat yang saya sebut itu benar-benar menumbangkan BN. – HARAKAHDAILY 18/5/2018

- Advertisement -