Kemenangan satu ujian – Dr Ahmad Samsuri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemenangan itu satu amanah dan ujian dari Allah S.W.T.

- Advertisement -

Justeru kata beliau, kemenangan yang baharu dicapai dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu itu sangat berat untuk dipikulnya.

“Kemenangan bukan untuk dirayakan tetapi kemenangan adalah satu ujian daripada Allah S.W.T.

“Kemenangan juga merupakan satu amanah dari Allah, yang tidak terkira beratnya untuk seluruh kepimpinan (PAS) yang telah memenangi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen dalam PRU14 lalu,” ujarnya.

Menteri Besar itu turut mengambil contoh kisah perbualan antara Khalifah Umar Abdul Aziz bersama isteri dan anaknya, yang berlaku pada 10 Safar tahun 99 Hijrah sebagai pedoman.

“Aku termenung dan terpaku memikirkan nasib fakir miskin yang sedang kelaparan dan tidak mendapat perhatian daripada pemimpinnya. Aku juga memikirkan orang-orang yang sedang sakit tidak mendapat ubat yang memadai.

“Hal yang sama terfikir oleh aku, tentang orang yang tidak mampu membeli pakaiannya, orang-orang yang selama ini dizalimi dan tidak ada yang membelanya. Mereka yang mempunyai keluarga yang ramai dan hanya memiliki sedikit harta.

“Orang-orang tua yang tidak berdaya, orang-orang yang menderita di seluruh pelusuk negeri ini dan sebagainya. Aku sedar dan memahami sepenuh hati bahawa Allah SWT akan pasti meminta pertanggungjawaban dariku. Sebab, hal ini amanah yang terpikul dibahuku.

“Namun aku bimbang dan ragu, apakah aku sanggup dan mampu membuktikan kepada Allah S.W.T, bahawa aku telah melaksanakan amanah ini dengan baik dan benar sesuai dengan tuntutan Allah S.W.T.

“Atas dasar inilah wahai isteri dan anakku, Aku menangis mengingatkan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah SWT,” ujarnya memetik perbualan tersebut.

Menurutnya, tugas besar hari ini bagaimana mahu mengisi kemenangan yang lebih berat dari mencapai kemenangan.

“Kita ingin mengisi kemenangan dengan penuh perasaan tanggungjawab kerana manifesto yang telah kita (PAS) istiharkan kepada rakyat. Tugas mengisi kemenangan ini sudah tentunya lebih sukar dari mencapai kemenangan.

“Kita sama-sama bertanggungjawab membangunkan cara hidup beragama dalam kehidupan. Tanggungjawab kepada negeri, anggota pentadbiran kerajaan, kepada rakyat yang menyumbang pembangunan ekonomi negeri dan tanggungjawab kepada sesama manusia yang menjadi rakyat di negeri ini.

“Kita tidak hanya mahu berjumpa dengan rakyat semasa musim pilihan raya sahaja,” jelasnya.

Pada 9 Mei lalu, PAS Terengganu berjaya memenangi 22 kerusi Dun dan enam kerusi Parlimen PRU14, sekaligus membentuk kerajaan baharu di negeri ini dan Barisan Nasional (BN) hanya 10 kerusi Dun dan dua parlimen. -HARAKAHDAILY 18/5/2018

- Advertisement -