Yakin RUU 355 dapat dilaksanakan – Presiden PAS

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: PAS yakin Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada April 2017, akan diluluskan.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahawa parti itu tidak lupa dengan RUU355 yang dibentangkan di parlimen. 
 
Menurutnya, pembentangan rang undang-undang itu telah mendapat persetujuan kerajaan yang lalu dan akan dibahaskan pada sesi kali ini.
 
“Sekarang kita (PAS) mempunyai kuasa pemerintahan, boleh mengubah dengan kuasa undang-undang, yang diizinkan oleh Allah SWT mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.  
 
“Kita masih berjuang untuk mendapat keizinan melaksanakan syariat Islam dengan sepenuh-penuhnya. 
 
“Kita tidak lupa RUU (Akta) 355, yang kita (PAS) bentangkan di parlimen. InsyaAllah, akan mendatangkan hasil dan memberi peluang kepada negeri Terengganu dan Kelantan, yang kita perintah untuk menjadi contoh kepada yang lain,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini kelmarin.
 
Namun, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan, kemenangan parti Islam itu bukan untuk membalas dendam tetapi menunjukkan keadilan kepada semua rakyat.
 
“Islam tidak menjadikan kemenangan itu untuk membalas dendam atau kemenangan untuk bertindak sewenang-wenangnya. 
 
“Kemenangan (Islam) itu untuk menunjukkan adil kepada semua (rakyat) dan kebajikan untuk semua,” jelasnya.
 
Menurut beliau, PAS pernah menang dan memerintah di negeri Terengganu sebanyak dua kali sebelum ini bagi mendaulatkan Islam. 
 
“Kita (PAS) pernah menang tahun 1959 dan dijatuhkan tahun 1961, dua setengah tahun. Kemudian, kita kembali tahun 1999 hingga 2004, selepas 40 tahun kita (PAS) mencapai kemenangan yang pertama dan kita memerintah satu penggal. 
 
“Kemudian, kita (PAS) kembali semula sekarang ini. InsyaAllah, disambung dengan izin Allah SWT dengan taufik dan hidayahNya selagi kita menegakkan ajaran Allah SWT. Allah mengurniakan kemuliaan kepada kita. 
 
“Sekiranya, kita mencari kemuliaan lain dari Islam, kita akan menerima penghinaan daripada Allah SWT. Allah menjadikan pasang surut bukan sahaja kepada laut, sungaibahkan, pasang surut kepada kehidupan manusia,” jelasnya di hadapan ribuan hadirin.
 
Hadir sama dan berucap pada himpunan itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan pendakwah bebas tersohor, Ustaz Azhar Idrus.
 
Sebelum itu, kuliah maghrib disampaikan oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan solat hajat kesyukuran diimamkan oleh mantan Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Zainal Abidin al-Hafiz. -HARAKAHDAILY 17/5/2018
- Advertisement -