Pembukaan Khurasan Daulah Abbasiyah

- Advertisement -

KHURASAN adalah sebuah kota tua yang pernah dikuasai oleh Alexander The Great (356-233SM). Alexander telah membina sebuah kota tentera, Merv yang kemudiannya dikuasai oleh Dinasti Seleucids (305-64SM). Kota ini menjadi kota yang besar dan penting di wilayah Parsi. Walau bagaimanapun, pada tahun 637M, Parsi telah jatuh ke tangan Islam iaitu pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Ekoran itu, Islam turut berjaya membuka kota Merv pada 643M. Selepas kematian Umar, Khorsu Yezdegrid III telah memberontak, sebelum ditumpaskan oleh Khalifah Osman bin Affan. Sejak itu, Merv dikuasai oleh Islam, termasuk Daulah Umayyah (661-750M).

- Advertisement -

Daulah Umayyah yang diasaskan oleh Muawiyah bin Abu Sufyan telah menguasai seluruh wilayah Islam dari Andalus hingga Transoxiana dan Sind (India). Selepas kewafatan Khalifah Hisham bin Abdul Malik (724-743), keadaan Kerajaan Umayyah mulai melemah kerana khalifah sesudahnya tidak berkaliber. Dalam masa yang sama, berlaku gerakan politik Bani Alawiyah dan Bani Abbasiyah untuk menguasai kekhalifahan. Daulah Umayyah akhirnya tumbang pada tahun 750M, dan berdiri pula Daulah Abbasiyah (750-1517M) sebagai khalifah yang baru.

Panglima Abu Muslim al-Khurasani

Abu Muslim al-Khurasani atau nama sebenarnya, Ibrahim bin Osman bin Bashar merupakan panglima dan propagandis utama yang bertanggungjawab membangkitkan penubuhan Daulah Abbasiyah. Beliau yang berketurunan Parsi dilahirkan di Esfahan dalam tahun 726M (113H), dan meninggal dunia pada 755M. Beliau merupakan seorang yang revolusioner dan cekap, sehingga dapat menjatuhkan Daulah Umayyah dan berperanan besar dalam mengangkat khalifah yang pertama, Abu Abbas Abdullah as-Saffah di Kufah pada tahun 750M ketika wujudnya persaingan dengan Bani Alawiyah.

Abu Muslim yang dididik dalam gerakan bawah tanah di bawah Isa al-Ma’qal dan Idris al-Ma’qal al-Ajli, sebelum menyertai Sulaiman al-Kathir, seorang pemimpin gerakan Abbasiyah telah muncul sebagai tokoh penting ketika usianya mencecah 19 tahun. Beliau dilantik oleh Ibrahim al-Imam, ketua gerakan Abbasiyah sebagai propagandis. Beliau menyatukan semua gerakan anti-Umayyah termasuk Bani Alawiyah, golongan Syiah dan orang Parsi. Beliau menggerakkan kempen daulah untuk Bani Hashim sama ada Alawi atau Abbasi.

Sehingga Ibrahim al-Imam ditangkap dan dibunuh oleh Daulah Umayyah, belum ada gerakan ketenteraan dibuat ke atas Daulah Umayyah. Pengganti Ibrahim al-Imam, saudaranya, Abu Abbas Abdullah as-Saffah menyerahkan kepercayaan kepada Abu Muslim, sehingga gerakan ketenteraan pertama dibuat di Khurasan pada tahun 747M.

Pembukaan Merv: Pembangkit Abbasiyah

Kebangkitan Daulah Abbasiyah boleh dikatakan bermula dengan gerakan ketenteraan yang dilakukan oleh Abu Muslim dalam menguasai Khurasan dan membina pengaruh Abbasiyah di sana pada tahun 747M. Gabenor Khurasan ketika ini ialah Nasr bin Sayyar, seorang pemimpin yang berketurunan Mudhar. Beliau menghadapi tentangan kuat daripada kelompok Khawarij yang dipimpin oleh Syaiban. Di samping itu juga, satu pemberontakan politik orang Yaman telah dibuat oleh Judi al-Kirmani. Abu Muslim melagakan kelompok Arab, Yaman dan Mudhar di Khurasan.

Pada 1 Ramadhan 129H bersamaan 16 Mac 747M, Abu Muslim telah memasuki kota Merv untuk melakukan gerakan ketenteraan ke atas Gabenor Khurasan, Nasr bin Sayyar. Pembunuhan Judi al-Kirmani oleh Nasr bin Sayyar telah membolehkan Abu Muslim menarik sokongan Ali bin Judi al-Kirmani yang memimpin orang Yaman. Gabenor Nasr bin Sayyar kemudiannya berjaya dikalahkan sehingga kota Merv dan Naisabur jatuh ke tangan Abu Muslim.

Kejayaan Abu Muslim menguasai Khurasan dalam gerakan ketenteraan yang dibuat pada 1 Ramadhan 129H ini, telah menamatkan kekusutan politik akibat kelemahan Daulah Umayyah. Pada tahun 750M, Khalifah terakhir Daulah Umayyah, Muhammad bin Marwan yang dapat dijatuhkan, dan Abu Muslim berperanan besar untuk mengangkat Abu Abbas as-Saffah sebagai khalifah yang baru di Kufah, sekali gus mengasaskan Daulah Abbasiyah. Daulah Abbasiyah kemudian mencapai pelbagai kejayaan, kemajuan dan tamadun dengan memimpin umat Islam selama 767 tahun (750-1517M).

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
1 Ramadhan 1438 / 17 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 17/5/2018

- Advertisement -