Perutusan Khas Hari Guru 2018

- Advertisement -

KITA menyambut Hari Guru setiap tahun bagi meraikan jasa mereka mendidik masyarakat dengan ilmu. Guru adalah cahaya yang menerangi lorong kegelapan. Rasulullah S.A.W contoh guru paling unggul di dunia kerana menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

- Advertisement -

PAS menekankan pendidikan holistik yang merangkumi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, akademik dan akhlak. Sejarah tamadun Islam dibina di bumi kering kontang, namun akhirnya menjadi tamadun yang berpengaruh kerana modal insan generasi awal dibentuk di atas asas keimanan yang kukuh.

Justeru itu, peningkatan kualiti pendidikan negara perlu dititik beratkan ke arah pembinaan modal insan cemerlang melalui geran per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz, pondok dan sekolah persendirian. Memperbanyakkan sekolah berorientasikan kurikulum integrasi antara tahfiz Al-Quran dan Sains dan memperkasakan waqaf dalam sistem pendidikan bermula daripada peringkat pendidikan pra-sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.

Bagi mengurangkan beban warga pendidik, adalah wajar menurunkan nisbah keseimbangan guru dan murid daripada 1:50 kepada 1:30 dan mewujudkan jawatan pembantu guru dalam kerja-kerja perkeranian sepertimana telah ditawarkan dalam Manifesto Malaysia Sejahtera.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan pada hari ini, 16 Mei 2018 untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Semoga terus komited dalam membangunkan agenda pendidikan kepada rakyat.

Selamat Hari Guru!

“Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 16/5/2018

- Advertisement -