Persoalan sekitar kerajaan PH

- Advertisement -

WALAUPUN PRU ke-14 telah berakhir, namun perdebatan politik di media sosial masih lagi panas. Persoalan dibangkitkan sekitar Kabinet baru PH, pembaharuan institusi demokrasi, janji pilihan raya, fenomena lompat parti dan lain-lain.

- Advertisement -

Berikut adalah sebahagian besar daripadanya.

Adakah akan berlaku penghakisan kuasa politik Melayu Islam secara drastik?  

Persoalan ini dibincangkan oleh para netizen ekoran cadangan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan bagi Kerajaan PH. Ada pihak yang menyokong penuh pelantikan itu kerana LGE dikatakan berjaya menguruskan kewangan Negeri Pulau Pinang dengan jayanya.

Ada yang bimbang, Menteri Kewangan baru tidak akan membantu menguatkan ekonomi Bumiputera yang diakui lemah di negara kita. Jika sektor ekonomi Bumiputera tidak diperkasakan dengan baik, jurang ekonomi antara kaum akan semakin melebar. Ini seterusnya akan membawa kepada ketidakstabilan sosial yang parah pada masa hadapan.

Cara Umno-Putera tentulah bukan pilihan untuk memajukan ekonomi Bumiputera. Namun persoalan yang timbul, adakah LGE akan mengukuhkan ekonomi Malaysia berdasarkan merit semata-mata tanpa melihat kepada agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera?

Ada juga pihak yang mempersoalkan kewajaran memilih LGE kerana beliau belum lagi bebas daripada pertuduhan kes rasuah di Mahkamah.

Ura-ura cadangan pelantikan Datuk Ambiga sebagai Peguam Negara juga dibincangkan oleh para netizen secara pros dan cons daripada sudut ini, selain daripada sudut kepakaran sebenar.

Pelaksanaan janji menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak. 

Banyak video kempen pimpinan PH yang dikongsikan semula oleh para netizen memaparkan mengenai dua janji ini. Klip-klip video itu menjanjikan sebaik saja PH menguasai Putrajaya, besoknya rakyat tidak perlu lagi membayar GST dan besoknya harga minyak akan terus turun.

Rupanya, itu hanyalah janji manis semasa berkempen. Untuk melaksanakannya memerlukan masa dan beberapa proses yang tertentu.

PH ganti BN dan Bersatu ganti Umno 

Kejatuhan BN di peringkat Pusat menjadikan wakil-wakil rakyat BN seperti anak ayam kehilangan ibu. DS Najib berundur daripada jawatan Presiden Umno dan BN.

Akhirnya, ramai yang melompat menyertai Bersatu. Ada yang berkata mereka tidak keluar BN, hanya sekadar menyokong PH menubuhkan kerajaan negeri. Tapi mereka akhirnya dipecat oleh DS Zahid Hamidi selaku pemangku Presiden Umno yang baru.

Komponen-komponen kecil BN di Sabah melompat menyertai Warisan. Wakil rakyat BN dan penyokong BN di Semenanjung cenderung untuk melompat menyertai Bersatu.

Persoalan yang timbul, adakah PH akan diisi oleh orang-orang lama BN? Adakah Bersatu akan menjadi majoriti dan paling dominan dalam PH sebagaimana Umno paling dominan di dalam BN?

Beberapa pemimpin DAP dan PKR mula menyuarakan kegusaran mereka tentang fenomena ini.

Pejuang royalti PH di Kelantan dan Terengganu lebih gemarkan dasar BN  

Menarik juga untuk diperhatikan pendukung dan penyokong PH di Kelantan dan Terengganu agak tidak gembira dan geram apabila para netizen mula mendesak PH menunaikan manifestonya untuk memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak.

Mereka nampaknya lebih sukakan dasar BN yang mendiskriminasikan negeri-negeri pengeluar minyak dengan menjadikan hak royalti hanyalah sebagai ihsan daripada Kerajaan Persekutuan. Hujah-hujah Kerajaan BN dahulu, mula diguna-pakai oleh golongan ini.

Mereka gagal memahami ucapan PM ke-7 bahawa Kerajaan PH tidak akan membalas dendam kepada pengundi dan akan melaksanakan janji-janji mereka di dalam manifesto.

Adakah dasar Sosial Negara akan menjadi lebih Liberal tanpa berpaksikan agama dan kebudayaan masyarakat Timur? 

Ini berikutan tularnya beberapa tuntutan oleh golongan LGBT dan Liberal di media sosial. Komposisi ahli Jawatankuasa Reformasi Institusi juga menimbulkan kecurigaan netizen.

Adakah Tun Mahathir akan mengakali DS Anwar sekali lagi? 

Walaupun Tun Mahathir telah mengotakan janji PH untuk membebaskan DS Anwar Ibrahim dengan seberapa segera, para netizen tetap bimbang peristiwa lama akan berulang. Tambahan lagi, penasihat-penasihat lama Tun Mahathir telah dipanggil kembali secara rasmi untuk menasihatkan Kerajaan PH yang baru.

Persoalan ini tentulah tidak objektif berdasarkan tindakan Tun Mahathir sepanjang seminggu menjadi PM yang baru. Beliau dilihat menguatkan kerajaan PH dengan jayanya dan sangat komited membantu proses pembebasan dan pengampunan penuh DS Anwar.

Namun sukar bagi para netizen untuk terus bersangka baik dan menyembunyikan kecurigaan mereka.

Adakah Rafizi Ramli Invoke akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan PH atau akan kekal ‘membangkang’?

Ini juga persoalan yang menjadi gurauan para netizen. Ramai netizen daripada kalangan PH menganggap Rafizi adalah hero sebenar PH di belakang tabir.

Namun serangan ‘mengejut’ beliau terhadap pelantikan Kabinet awal Tun Mahathir, menimbulkan kesangsian para netizen adakah Rafizi sudah bersedia untuk menukar mindanya sebagai ‘kerajaan’ dan ‘pembina negara baru’? 

ZAKARIA ISMAIL
16 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 16/5/2018

- Advertisement -