PAS terbuka disertai untuk Islam dibangunkan

- Advertisement -

DI kala ada desas-desus penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) menuntut agar kepimpinan tertinggi PH menutup pintu kepada mana-mana pimpinan dan ahli BN daripada menyertai mana-mana parti dalam PH. Kononnya akan membawa penyakit BN dan Umno ke dalam tubuh PH.

- Advertisement -

PAS membuka pintu kepada siapa sahaja (bukan hanya Umno dan BN) untuk bersama dengan PAS. Berta’awun dan bertolongan dalam membangunkan Islam. Jika ahli-ahli Umno sedang mencari sebuah parti Melayu yang berasaskan perjuangan Islam, maka PAS adalah teduhan yang boleh mereka yakini.

Kalau kita pernah mendengar kisah Sahabat Nabi yang ditugaskan menjaga panji-panji Islam dalam sebuah peperangan, sehinga terpotong kedua tangannya. Lalu panji-panji itu dikepit dengan kedua pahanya. Kemudian dipotong kedua-dua pahanya. Namun panji-panji kemuliaan Islam tetap dijaganya.

Begitulah keteguhan PAS dalam menjaga prinsip dan izzah Islam. Lalu jangan ingat PAS panik dan gusar dengan sedikit kekalahan itu. Bahkan kekalahan kecil itu adalah pembakar semangat untuk PAS lebih mencintai Allah, Rasul dan Islam.

Biarlah PH menutup pintu untuk Umno. Namun PAS membuka seluas-luasnya pintu untuk mereka bersama PAS. Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin bukan sekadar slogan namun itulah realiti yang dihayati. Kalau PH menganggap ahli-ahli Umno sebagai pembawa penyakit kepada PH jika penghijrahan mereka diterima, maka PAS sebaliknya. Ahli Umno adalah hamba Allah yang punya potensi diri untuk menjadi hamba Allah yang baik sebagaimana manusia lain. Ayuh saudara-saudaraku ahli Umno dan BN kita bersama dalam wadah PAS untuk sama-sama menjunjung Islam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
15 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 16/5/2018

- Advertisement -