Dana raya diteruskan – MB Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu meneruskan pemberian dana raya sebagaimana sebelum ini, bagi memberi keselesaan kepada rakyat sempena menyambut bulan Ramadan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sempena bulan Ramadan ini Kerajaan PAS Terengganu membuat keputusan meneruskan dana raya kepada rakyat.

Justeru maklumnya, rakyat yang termasuk dalam kategori tersebut bakal menerima antara RM300 hingga RM400 seorang.

“Sempena bulan Ramadan ini, kita (Kerajaan PAS) meneruskan dana raya kepada rakyat yang layak menerima antara RM300 hingga RM400, mengikut kelayakkan masing-masing.

“Pengagihannya akan dilaksanakan pada bulan Ramadan ini sebelum menyambut hari raya (Idulfitri).

“Kita (kerajaan) juga membuka permohonan baharu. Jika ada permohonan baharu mengikut kelayakkannya, InsyaAllah (diberikan),” ujarnya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu kali pertama, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Selain itu, menurut Dr Ahmad, bahawa kerajaan negeri juga bersetuju dengan pemberian 20 meterpadu air percuma kepada rakyat miskin.

Jelasnya, pemberian 20 meterpadu air percuma itu merupakan sebahagian dari janji Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

“Kerajaan negeri (Terengganu) di atas rasa tanggungjawab terhadap keperluan rakyat miskin, dan sebahagian janji manifesto pilihan raya (PRU14). Kita telah bersetuju untuk memberikan 20 meterpadu air percuma kepada rakyat miskin yang sedia ada dalam senarai.

“Ada sedikit beza dengan sesi (kerajaan Barisan Nasional) lepas iaitu 20 meterpadu air percuma, tetapi jika guna 21 meterpadu air (rakyat) kena bayar sepenuhnya 21 meterpadu.

“Kita (PAS) pula, 20 meterpadu air pertama percuma dan jika guna 21 meterpadu, yang perlu dibayar hanyalah satu meterpadu air sahaja,” jelasnya.

Malah, Menteri Besar itu juga mengumumkan sebarang permohonan tidak perlu lagi kepada tandatangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K).

“Bagi memastikan rakyat di bawah menerima manfaat tanpa melalui karenah birokrasi, yang menyusahkan mereka. Proses permohonan yang memerlukan tandatangan Pengerusi Jawatankuasa , Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) telah ditiadakan.

“Sebarang permohonan yang berkaitan dengan permohonan rakyat itu boleh diteruskan kepada Majlis Daerah masing-masing,” tegasnya.

Contohnya kata beliau, borang permohonan Bazaar Ramadan selama ini perlu kepada pengesahan J3K itu sekarang tidak perlu lagi, bagi memudahkan rakyat serta mengurangkan karenah birokrasi.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah. -HARAKAHDAILY 16/5/2018

- Advertisement -