Tidak timbul dengan siapa bekerjasama

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, tidak kira atas apa jua isu yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri, PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak.

Justeru, katanya tidak timbul persoalan dengan siapa yang kerajaan PAS hendak bekerjasama bagi membangunkan negeri ini.

“Bagi pihak PAS di negeri Terengganu, kita bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan rakyat termasuk isu royalti.

“Dan tidak kiralah dalam apa jua isu, yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri. Jadi tidak timbul dengan siapa kita bekerjasama,” ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Justeru, beliau berharap agar generasi baharu dapat memahami pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan itu.

“Saya percaya dengan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), dan generasi baharu yang ada pada hari ini hendaklah memahami politik untuk menyelesaikan masalah, bukan politik yang untuk menimbulkan masalah baru dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Menteri Besar itu juga mengingatkan rakyat bahawa perbezaan politik dibolehkan selagi tidak menjejaskan kepentingan rakyat dan negeri.

“Pada hari ini sangat bersejarah kepada kerajaan negeri, di mana dapat diadakan majlis serahan tugas daripada Dato’ Seri Ahmad Razif kepada saya, selaku Menteri Besar Terengganu yang baharu.

“Saya amat menghargai sesungguh-sungguhnya kedatangan Dato’ Seri Ahmad Razif ke Pejabat Menteri Besar pada hari ini. Ini suatu permulaan yang baik, bahawa kita di negeri Terengganu ini.

“Kita boleh sahaja berpolitik dengan apa sahaja pegangan dan kefahaman. Tetapi, akhirnya kita ingin mencari yang terbaik untuk rakyat negeri Terengganu dan negeri Terengganu secara umumnya.

“Saya bagi seluruh kepimpinan kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Razif yang sudi bersama kita pada petang ini,” ujarnya.

Sebelum itu, diadakan Majlis Serahan Tugas daripada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kepada Dr Ahmad Samsuri yang disaksikan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A Rahman Yahya dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad Razif berjanji sedia membantu kerajaan PAS Terengganu membangunkan negeri ini jika diperlukan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, turut merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan PAS negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

“Saya ucap tahniahlah kepada parti PAS yang telah memenangi PRU14. Saya selaku Pengerusi Barisan Nasional menerima kekalahan ini dengan berlapang dada dan yang paling pentingnya untuk rakyat.

“Selepas daripada ini, saya tidak ada masalah untuk membantu. Sekiranya tenaga saya dan rakan-rakan diperlukan, kerana yang paling penting hari ini ialah kita kena saling bantu-membantu, saling menolong.

“Pilihan raya yang lepas itu lepaslah. Jadi apa yang perlu kita lihat bagaimana untuk memastikan bahawa rakyat itu akan mendapat manfaat daripada apa yang diperjuangkan.

“Sama sahaja, mana-mana parti yang menang akan membuat yang terbaik untuk rakyat. Saya tidak ada masalah. Kita perlu berjiwa besar dan yang paling penting pada hari ini, kita perlu manfaatkan masa-masa yang mendatang itu dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu menggantikan Dato’ Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014. – HARAKAHDAILY 15/5/2018

- Advertisement -