Petugas PAS jangan kecewa dengan keputusan PRU14 

- Advertisement -

RAMAI petugas dan aktivis PAS merasa sedih dan lemah semangat disebabkan hilangnya banyak undi mereka di Pantai Barat pada PRU ini.

- Advertisement -

Mungkin tulisan ini sedikit sebanyak boleh digunakan untuk merawat luka-luka dan kecederaan sanubari mereka.

●     Kita tidak tewas sepenuhnya, walaupun tidak menang seperti yang kita hajati.

Kita masih menang di Kelantan dan Terengganu. Kita hampir memerintah di Kedah. Kita bertambah di Pahang. Kita ada wakil di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras””

(Ibrahim: 7)

     Semakin ramai rakyat mengundi PAS, sekalipun lebih ramai mengundi PH.

Kita masih merekodkan lebih 2 juta undi dalam PRU ke-14 bersama komponen-komponen Gagasan Sejahtera, walaupun gabungan kita agak kurang dikenali berbanding PH dan BN. Kita berharap 2. 043, 159 juta undi yang kita perolehi akan dibajai dan dijaga agar menjadi lebih subur pada masa akan datang.

Firman Allah S.W.T:  

… كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِنْ لَمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“… adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(al-Baqarah: 265)

     Kehilangan banyak kerusi dan undi di Selangor bukanlah bermakna dakwah dan sumbangan kita ditolak oleh rakyat, tetapi mereka mahu lebih mengenali kita sebelum lebih meyakini kita.

Oleh itu, penerangan mengenai halatuju perjuangan kita dan manfaat yang akan rakyat perolehi daripada itu, perlulah diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada rakyat pelbagai kaum di Selangor. Kita perlu mendekati mereka semua bagi tujuan tersebut.

Inilah cabaran terbesar kita. Kerana akan ada pihak yang bekerja untuk memburukkan imej kita.

Firman Allah S.W.T: 

وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

“Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”

(Yaasin: 17)

     Kita pernah tewas lebih teruk pada tahun 1978, setelah tidak lagi berada dalam kerajaan campuran sebelum itu.

Kita hanya menang 5 kerusi Parlimen dan 9 kerusi Dun. Tapi setiap kali kita tewas, kita tetap bangkit semula. Kita tetap yakin pertolongan Allah S.W.T akan sampai jua. Pada 1990, kita memenangi Kelantan dengan penuh bergaya.

Firman Allah S.W.T: 

…حَتَّىٰ إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا جَاءَهُمْ نَصْرُنَا …

“… hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka…”

(Yusof: 110)

     Kita hanya berusaha, Allah S.W.T jua yang menentukan.

Kita berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan fadilat berjihad, berdakwah dan bersabar dalam menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, namun hasilnya terserahlah kepada Allah S.W.T jua.

Firman Allah S.W.T:  

…وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“… Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(al-Anfal: 10)

     Kita hanyalah satu mata rantai dalam rantaian dakwah dan perjuangan yang panjang merentasi sempadan masa dan geografi.

Jika kita merasakan kitalah yang memulai perjuangan ini dan kitalah yang mengakhirinya, tentulah kita terasa lemah dan tidak berdaya. Tetapi mata rantai perjuangan ini telah dimulai oleh insan-insan yang lebih mulia daripada kita di kalangan para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada’ dan orang-orang Soleh yang telah mendahului kita.

Kita hanya meneruskan apa yang telah mereka mulakan. Generasi akan datang pula, pasti akan meneruskan perjuangan ini. Bahkan, ujian saudara-saudara kita di bumi Palestin jauh lebih dashyat dan berat.

Inilah janji Allah. Firman Allah S.W.T:  

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

(al-Ahzab: 23)

     Politik adalah seni perjuangan jangka panjang. Ia tidak berakhir dengan PRU ke-14.

Tun Mahathir sendiri pun mempunyai sejarah politik yang panjang. Ada masa jatuh bangunnya. Ada masa kuat dan lemahnya. Itu pun cukup untuk memberi pengajaran kepada kita.

Firman Allah S.W.T:  

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

“Jika kamu (dalam Peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (Musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam Peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” 

(ali Imran: 140)

Akhirul kalam, lazimilah pesan Tuan Guru Presiden:

Banyakkan membaca al-Quran, bukannya FB

“Ramadhan Kareem”

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
15 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 15/5/2018

- Advertisement -