Exco Kelantan gandingan muka baharu, lama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka menampilkan muka baharu dan lama dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal ke-14.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, semua senarai nama sudah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan akan diumumkan esok.

“Selepas mendapat perkenan daripada baginda untuk majlis angkat sumpah dengan jumlah yang sama, tidak kurang daripada empat orang dan tidak lebih daripada 10 orang.

“Barisan Exco akan dianggotai muka baru dan muka lama,” katanya selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Kelantan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Kelihatan hadir semua wakil rakyat yang baru dipilih dan ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan.

PAS Kelantan mengekalkan pemerintahannya sejak tahun 1990 selepas mendapat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum lalu yang menyaksikan pertambahan lima kerusi Dun.

PAS menang di 37 kerusi Dun dan 9 kerusi parlimen. Manakala Pakatan Harapan gagal memenangi sebarang kerusi.

Ustaz Ahmad juga berkata, beliau mengikuti perkembangan peralihan kuasa di peringkat pusat selepas BN kecundang.

Katanya, kerajaan baharu dilihat sedang mengisi peralihan kuasa dan cuba memenuhi 100 hari pertama bagi melaksanakan janji-janji mereka.

“Terutamanya kita lihat mereka melantik lima penasihat yang merupakan pakar dalam bidang mereka untuk memberi keyakinan kepada rakyat melaksanakan manifestonya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/5/2018

- Advertisement -