PAS pentingkan aspek pendidikan

- Advertisement -

KANGAR: PAS mementingkan aspek tarbiyah sebagaimana rangkaian pendidikan diwujudkannya dalam pembinaan insan dan masa depan negara.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, pendidikan umpama proses memilih benih terbaik yang ditanam untuk menumbuhkan pohon subur dan mengeluar hasil diinginkan.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Arau di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), di sini hari ini.

“Menyedari hakikat ini, PAS mengorak langkah menubuhkan PASTI agar proses pendidikan dapat dimulakan seawal usia kanak-kanak.

“Ini kerana, pada peringkat ini mereka lebih mudah dibentuk dan dididik dengan ajaran Islam agar mereka menjadi insan yang beriman kepada Allah S.W.T.

“Apabila kita membentuk anak-anak kita daripada kecil dengan acuan pendidikan yang bertepatan dan bersesuaian, maka ia (ilmu tersebut) akan kekal.

“Saya suka tegaskan juga bahawa pendidikan daripada kecil diibarat seperti mengukir atas batu. Ukiran yang dibuat atas batu dia akan tahan lama, terus kekal beribu tahun,” jelasnya.

Pada majlis itu Teh Embun Kamis menerima Anugerah Tokoh Guru PASTI Arau, manakala Mashitoh Baharom terpilih menerima Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pemuda PAS Arau, Yusairi Mansor serta Pengarah PASTI Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil. -HARAKAHDAILY 14/5/2018

- Advertisement -