Liar setelah ‘bebas’

- Advertisement -

BANI Israel melalui fasa penjajahan yang lama di bawah cengkaman Firaun. Mereka menjadi mangsa diskriminasi, dinafikan hak serta diperhamba menjadi buruh paksa yang tidak berharga.

- Advertisement -

Pertarungan 77 tahun

Situasi menyayat hati itu berterusan sehingga Nabi Musa diutuskan oleh Allah sebagai pembela Bani Israel. Pertarungan selama 77 tahun menentang 2 orang Firaun akhirnya berakhir dengan tenggelamnya bala tentera Firaun di Laut Merah.

Allah telah mengurniakan bantuan besar-besaran kepada Bani Israel. Mereka bebas dari cengkaman Firaun buat selama-lamanya. Namun adakah kualiti kehidupan mereka bertambah baik selepas itu? Tidak!

Mula jadi celaka

Setelah mereka mendarat ke Semenanjung Sinai, Bani Israel mula menampakkan wajah celaka mereka. Hidup Bani Israel menjadi semakin porak peranda dan mula melakukan derhaka besar-besaran kepada Tuhan yang telah berjasa membebaskan mereka dari Firaun.

Selama ini Bani Israel tidak pernah meminta untuk menyembah berhala, tiba-tiba mereka mahu menyembah berhala. Tergamak mereka meletakkan syarat hanya mahu menyembah Allah sekiranya Allah menjelmakan dirinya secara zahir. Lantas Allah membedil mereka dengan petir, lalu mereka kembali dihidupkan agar bertaubat dan sedar diri.

Kemudian Bani Israel mula pandai berbunuhan antara satu sama lain. Sehingga sanggup mengugut mahu membunuh Nabi Harun sekiranya baginda terus mengingatkan mereka agar kembali kepada Islam.

Kedegilan Bani Israel semakin melampau apabila mereka sanggup menyembah patung lembu yang diperbuat dari emas. Kesialan ini menyebabkan Nabi Musa cukup kecewa dengan perkembangan Bani Israel yang berpanjangan degil.

Mereka mengadu masalah jenayah kepada Nabi Musa, lalu Allah memerintahkan agar mereka menyembelih lembu betina. Bani Israel mengemukakan alasan demi alasan untuk tidak mahu melaksanakan syariat tersebut.

Apabila Nabi Musa mengemukakan ajaran Islam dari pedoman kitab Taurat, mentah-mentah sahaja Bani Israel menolak bahkan mengisytihar akan menentangnya.

Ekoran dari kedegilan mereka yang tidak mahu menjalankan misi bersama dengan Nabi Musa untuk pergi ke Baitul Maqdis, Allah sesatkan mereka di tengah gurun selama 40 tahun.

Dalam keadaan penuh bingung kesesatan, Allah tetap membantu mereka dengan mengurniakan 12 mata air dan makanan terbaik berupa burung merpati dan manisan manna. Namun Bani Israel tetap tidak bersyukur dan menunjuk protes terhadap Allah.

Ini sebahagian dari sinopsis sejarah kedurhakaan Bani Israel berdasarkan al-Quran, setelah mereka bebas dari Firaun.

Mengapa Bani Israel menjadi liar?

Dari siri-siri kedurhakaan Bani Israel yang terlalu banyak, maka padanlah mereka dilaknat oleh Allah. Persoalannya, mengapa mereka menjadi semakin liar setelah dibebaskan dari cengkaman Firaun?

●     Bani Israel tidak menyambut kemerdekaan dengan rasa syukur dan insaf. Mereka tidak menghalakan kejayaan mereka sebagai komitmen untuk kembali kepada Islam.

●     Akibat menjadi mangsa kezaliman Firaun dalam tempoh yang agak lama, menyebabkan sifat zalim Firaun telah meresap masuk dalam ke jiwa-jiwa Bani Israel.

●     Friedrich Wilhelm Nietzsche pernah mengungkapkan:

“Hati-hati apabila kamu melawan gergasi, kelak kamu akan menjadi (jahat) sepertinya”

●     Pengalaman ditindas dalam tempoh yang lama, menyemarakkan perasaan dendam yang meluap-luap. Perasaan negatif tersebut tidak diurus dengan cara Islam.

●     Hasil dari dendam yang meluap, mereka kehilangan rasional. Bahkan liar melakukan apa sahaja atas alasan kononnya mereka telah bebas merdeka. Kononnya mereka boleh buat apa sahaja sesuka hati.

Beringat

Kita tidak boleh lari dari pedoman sejarah. Ia sebagai peringatan agar sentiasa bersedia dengan cabaran mendatang. Babak jatuh bangun yang bersilih ganti di kalangan manusia, mengandungi peluang, sentapan yang menyedarkan dan hukuman dari Allah.

Terpulang kepada kita sama ada mahu insaf kembali kepada Tuhan, atau menjadi mangsa kepada fatamorgana ‘kebebasan’.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD  
13 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 13/5/2018

- Advertisement -