Terima kasih rakyat Terengganu

- Advertisement -

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemenangan PAS di Terengganu merupakan kemenangan kepada rakyat.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sulung sebagai Menteri Besar Terengganu dalam Program Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Menurutnya, jawatan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ahli Dewan Negara adalah jawatan yang sangat berat.

“Sesungguhnya jawatan Menteri Besar, jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jawatan ahli Dewan Negara adalah jawatan yang sangat berat yang tidak mampu dipikul tanpa kerjasama dan bantuan daripada tuan-tuan yang berada di hadapan saya pagi ini.

“Semua di antara kami yang dipilih sebagai pemimpin Kerajaan Negeri Terengganu memerlukan bimbingan daripada tuan-tuan,” ujarnya.

Sekiranya kami benar, kami betul maka ikutilah kami, sekiranya kami salah, maka tegurlah, bantulah dan bimbinglah kami kerana matlamat kita mencapai mardhatillah dan matlamat kita bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan kita redha kepada Allah SWT dan Allah redha dengan kita,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Gerakan Islam seluruh dunia juga memberikan ucapan tahniah kepada kejayaan PAS di Terengganu.

Katanya, PAS ingin menjadi contoh kepada parti politik lain dalam hal memerintah sebuah negeri serta bagaimana PAS akan mengisi kemenangan khususnya di negeri ini.

Beliau berkata, PAS akan menjayakan manifesto PAS negeri yang telah dirangka sebelum ini dan dibentangkan kepada rakyat.

Katanya, semua manifesto akan mampu dicapai sekiranya semua rakyat Terengganu bekerjasama bagi menjayakannya.

Beliau menyebut beberapa manifesto yang bakal dilaksanakan, antaranya:

1. Membina hidup rakyat dengan membangun jati diri keimanan pemimpin dan rakyat melalui pendekatan pengamalan agama dalam kehidupan

2. Melaksanakan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu khususnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik, dan latar belakang mereka berkonsepkan adil untuk semua

3. Mencari jalan penyelesaian di atas kelemahan salah urus pentadbiran kerajaan yang lalu

4. Membawa agenda perkongsian ekonomi dengan rakyat kerana ekonomi yang dijana oleh kerajaan negeri dengan pelbagai cara sekiranya tidak diatur dengan berkesan maka ianya tidak akan sampai kepada rakyat

5. Membawa egeri Terengganu Darul Iman sebagai negeri model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera

6. PAS akan terus memperjuangkan royalti minyak negeri Terengganu supaya dikembalikan kepada rakyat Terengganu melalui pendekatan berunding secara undang-undang dan muwajahah silmiyyah

7. Mendapatkan hasil daripada telaga minyak Bertam yang telah dihilangkan dari kewangan kerajaan negeri Terengganu

Beliau mengakhiri ucapan dengan ucapan terima kasih kepada jentera pilihan raya PAS, ahli-ahli, para penyokong dan seluruh rakyat yang memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memimpin dan melakukan perubahan di negeri ini. – HARAKAHDAILY 11/5/2018

san

sam1

- Advertisement -