Psikologi PAS kecundang di Kelantan PRU14

- Advertisement -

MALAM tadi sekali lagi mencurah-curah di media sosial analisis PAS gagal mempertahankan Kelantan. Peliknya angka diberi bukan menggambarkan bilangan undi sebaliknya ditulis responden.

- Advertisement -

Maknanya ia bukan data dari bilik tempat mengundi, sebaliknya kajian rambang. Ditulisnya setiap Dun bermula di Pengkalan Kubor sehingga ke Nenggiri. Semuanya diberi gambaran PAS kalah.

Begitu juga bagi kerusi parlimen PAS tewas. Menariknya setiap statistik dikemukakan PAN berada di hadapan mengatasi jumlah responden BN.

Inikah yang dinamakan ‘war room’ atau ‘peperangan baru’ menuntut lebih stamina emosi. Ramai gundah apabila membaca laporan itu.

Pakcik dan makcik juga ditunjuk anak cucu data laporan terbabit. Mereka menjadi kelu seketika. Ini menggambar sayangnya mereka kepada kerajaan Islam Kelantan.

Namun ‘war room’ dari bilik sebelah tidak mampu bertahan lama. Akhirnya ranap begitu sahaja menjelang jam 12 malam tadi. Ketika itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan PAS menang 28 kerusi Dun.

Bilangan kerusi Dun Kelantan 45. Ini bermakna sudah melepasi simple majority. Ketika PAS di saat kritikal pada PRU 2004 hanya menang 24 kerusi Dun berbanding BN 22.

Dan selepas pilihan raya kecil diadakan kerusi PAS susut kepada 23 dan BN bertambah kepada 23. Namun sehingga jam 12 malam tadi kerusi PAS sudah 28 kerusi seperti disahkan SPR.

Bagaimanapun selepas mendapat keputusan keseluruhan di awal dinihari, meningkat pula sebanyak 9 lagi. Ia menjadikan jumlah keseluruhan 37 kerusi. Sedangkan Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan sebelum penamaan calon membayangkan sasaran PAS menguasai 38 kerusi.

Ini bermakna hanya kurang satu kerusi untuk menepati sasaran. Hebat telahan jentera Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan yang diketuai Zulkifli Mamat.

Biar pun beliau kecundang di kerusi parlimen Machang, namun analisis dan jangkaannya hampir tepat.

PAS berjaya menambah lima lagi kerusi Dun berbanding PRU 13. Kerusi tersebut iaitu Dabong, Semerak, Pengkalan Kubor, Guchil dan Selising. Guchil pada PRU lepas diwakili PKR yang dibantu jentera pilihan raya PAS.

Keputusan pimpinan negeri meletak Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dalam misi merampas Dun Selising juga berjaya. Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail menang dengan majoriti besar iaitu 3,120 undi.

Sedangkan menjelang pengumuman calon PAS, ada rombongan PAS Selising datang menemui Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob unjuk rasa.

Sertai Umno sokong PAS

Dan tahun lepas juga bekas penghulu di Selising mengumumkan menyertai Umno dengan menyerah borang kepada calon parlimen BN Pasir Puteh, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Penghulu terbabit memberi jaminan akan kembali kepada PAS sekiranya saya dicalonkan bertanding di Selising,” kata Ustaz Tuan Saripuddin.

Begitu juga kejayaan Tok Imam Ku Zaki merampas semula Dun Dabong. Setelah kubu itu ditinggalkan Ketua Umno Kuala Krai untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai, kerja Tok Imam menjadi lebih mudah.

Mungkin impian Dato’ Ramzi Abdul Rahman dilantik sebagai timbalan menteri ranap di tengah jalan. Beliau kecundang di tangan Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

PAS juga mengukuhkan kedudukan di Tumpat apabila menguasai sepenuh kerusi parlimen dan empat Dun. Pengkalan Kubor yang berada dalam genggaman Umno sejak PRU 2004 kembali dikuasai PAS.

Kehadiran Ustaz Wan Ruslan Wan Hamat diterima masyarakat Pengkalan Kubor.

Isu yang membelit Ketua Umno Pasir Puteh, Dato’ Zawawi Othman juga memberi laluan kepada Wan Hassan Wan Ibrahim untuk kembali ke kerusi Dun Semerak.

Apa pun kesedihan paling hiba menimpa PAN. Calon Menteri Besar yang diimpikan pemimpin mereka tercicir di tengah jalan.

Ustaz Nik Omar yang dicadang Husam Musa seumpama ‘menjunjung reba’. Bukan sekadar Nik Omar gagal, Husam tertiarap di tangga parlimen Kota Bharu dan Dun Salor.

Biar pun PAN dan PKR cemerlang di pantai barat, namun di pantai timur tidak. Bagi mengubat gundah gelana Husam, eloklah Tun Dr Mahathir intai Naib Presiden PAN itu kerusi Speaker Parlimen nanti. – HARAKAHDAILY 10/5/2018

- Advertisement -