PAS positif di Permatang Pauh

- Advertisement -
PERMATANG PAUH: Suasana sekitar pengundian di P.044 Permatang Pauh bermula dan berakhir dengan harmoni serta tenang tanpa berlaku sebarang insiden provokasi dari mana-mana pihak.
 
Tinjauan Harakah sejak dari awal pagi telah berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar jalan utama berikutan ramai pengundi yang bertindak keluar awal untuk mengundi.
 
Biarpun hujan turun lebat sekitar jam 1 tengah hari tadi, tidak langsung menghalang para pengundi untuk keluar mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
 
Lebih mengagumkan, pilihan raya kali ini lebih ramai anak muda turun keluar mengundi.
 
Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, dari pemerhatian beliau ketika menyantuni pengundi di Permatang Pauh rata-ratanya PAS mendapat reaksi positif tidak kira kaum.
 
Tambah beliau, kaum Cina di Permatang Pauh juga dilihat memberi reaksi positif lebih-lebih lagi di kawasan Dun yang ditandingi beliau.
 
Ujarnya, masyarakat Cina di situ dilihat berminat mendengar ceramah PAS biarpun PAS sudah tidak bersama pakatan.
 
“Pilihan raya kali ini teramat harmoni, tidak berlaku apa-apa insiden tegang, hingga ke setakat ini kita boleh bersalam dengan BN dan Parti Harapan (PH).
 
“Justeru itu, reaksi daripada pengundi memang positif kepada PAS,” katanya kepada Harakah.
 
Ujarnya, biarpun ramai yang mengatakan kemenangan PAS di Permatang Pauh adalah mustahil, namun kemenangan itu mungkin berlaku. 
 
Kerana menurutnya, jentera-jentera telah bekerja keras dengan digerakkan di segenap penjuru kawasan Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.
 
Beliau yang juga calon N.11 Permatang Pasir telah membuang undi bersama isteri, Wahidatun Nur Rusli di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau sekitar jam 8:30 pagi tadi. -HARAKAHDAILY 9/5/2018
- Advertisement -