PRU 14: Ribuan rakyat Kelantan Solat Hajat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ribuan rakyat bermunajat dan menunaikan Solat Hajat bagi mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV awal pagi tadi.

- Advertisement -

Program bermula jam 4 pagi dengan Solat Tahajud diimamkan pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Ustaz Wan Ismail Wan Abdul Halim.

Manakala solat hajat dan witir pula diimamkan Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Solat Subuh dan Qunut Nazilah diimamkan ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Razi Nik Mat.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Majlis Syura Ulama, Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh dan semua calon PAS.

Sebahagian besar orang ramai yang hadir kalangan anak-anak muda yang memenuhi lebih separuh padang bola stadium.

Jumlah kehadiran masih ramai biar pun diadakan pada hari bekerja. Malah ramai bergegas pulang setelah selesai Solat Subuh untuk bersiap ke tempat kerja.

Turut kelihatan hadir pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar sekolah pondok serta petugas PAS termasuk dari Gua Musang dan Jeli.

Sebelum ini Program Munajat Perdana diadakan pada pagi Jumaat memandangkan Pilihan Raya Umum diadakan pada Sabtu.

Ustaz Tuan Ibrahim berkata, Nabi Muhammad S.A.W bermunajat setiap kali hendak menyertai peperangan bagi memohon diberi kemenangan dalam perjuangan.

“Kita juga jangan takjub dengan jumlah bilangan tentera yang ramai kerana sejarah perang Hunain, tentera Islam kalah biar pun jumlah tentera begitu ramai,” katanya pada kuliah Subuh.

Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, InsyaAllah Allah Taala akan makbul doa kita dengan kebangkitan yang berlaku sekarang. – HARAKAHDAILY 8/5/2018

 

- Advertisement -