Fitnah RM90 juta bakal terkubur – Presiden PAS

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan keyakinan kemenangan bakal berpihak kepada beliau dalam kes saman fitnah Sarawak Report.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Santai Bersama Ayoh Chik di Markaz Induk PAS Kuala Berang Batu 24, Hulu Terengganu semalam.

Selain menjelaskan bidang kuasa Mahkamah dalam kes tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa dakwaan yang dikemukakan oleh Sarawak Report sebanyak 55 muka surat terhadap wang RM 90 juta yang kononnya diterima oleh PAS itu, 50 muka surat daripadanya telah ditolak oleh Hakim.

“Antaranya dia kata duit tu diguna untuk Dato Takiyudin, Setiausaha Agung PAS beli kereta. Takiyudin ini dia peguam, lawyer di Pejabat Lawyer dia. Dia beli dengan duit dia.”

“Kemudian Ustaz Tantawi, Ketua Penerangan PAS, ada kereta, habis segala kereta dia senarai belaka nak cukupkan RM 90 juta itu”, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kemampuan kewangan PAS adalah lebih daripada nilai RM 90 juta yang kononnya diterima oleh PAS. PAS menurutnya memperoleh kutipan derma dan sumbangan daripada seluruh negara melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan termasuk ratusan dan ribuan Institusi Pendidikan di setiap peringkat.

“Dan pihak yang membuat fitnah itu, peguam dia kena bayar kos daripada perbicaraan ini, peringkat pusingan yang pertama, sebanyak RM 200 ribu dia kena bayar ke kita. Dan tinggal 5 muka surat saja untuk dihujahkan”.

Baiah Umno lagha, tidak sah

Presiden PAS ketika ditanya tentang baiah yang dibuat oleh Umno, beliau menjelaskan bahawa baiah tersebut adalah lagha dan tidak sah di sisi syarak.

”Yang ditanya ini ialah baiah, beri pitih supaya orang undi kita, kemudian diminta supaya bersumpah. Macam mana sumpah ini?”

Beliau menyebut bahawa Allah S.W.T melarang mempermain-mainkan sumpah, seperti yang telah dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 24 dan 225.

Berbeza dengan PAS, calon-calon yang bertanding sebagai wakil rakyat akan berbaiah memberi ketaatan penuh kepada Allah dan Rasul, tidak boleh bercanggah dengan al-Quran, Sunnah dan apa yang diajarkan oleh Islam apabila menang dan memerintah.

Beliau turut menyebut kembali rekod pemimpin politik yang disoal siasat oleh SPRM atas kesalahan rasuah dengan jumlah pemimpin BN seramai 71 orang, Pemimpin PH seramai 21 orang dan tidak ada pemimpin PAS yang disiasat atas kesalahan tersebut.

“Di mana rahsianya? Rahsianya ialah kita memilih wakil-wakil rakyat kita yang jadi Menteri Besar, jadi Exco, yang percaya ada dosa pahala,” jelasnya ketika menghuraikan pemilihan calon-calon PAS turut ditapis oleh Majlis Syura Ulama dalam banyak sudut.

PAS tawar mansuh pinjaman PTPTN

Presiden PAS memberi jaminan penghapusan pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar Universiti jika diberi kuasa memerintah.

Beliau menjelaskan bahawa amalan pendidikan percuma menerusi konsep Negara Kebajikan (Welfare State) pernah dilaksanakan pada awal kemerdekaan namun telah dihapuskan oleh Dr Mahathir apabila memerintah Malaysia.

”Negara Kebajikan ini dimansuhkan tahun 80-an bila Dr Mahathir ambil pemerintahan negara. Dia buat negara Korporat, negara berniaga, penswastaan.”

“Negeri kita ada minyak, laut-laut kita ada minyak. Dikatakan minyak dalam laut kita ini nombor 1, minyak yang paling baik, guna untuk kapal terbang. Jadi kerajaan kita eksport ke luar negeri, jual untuk kapal terbang.”

”Duit ini guna untuk beli minyak luar negeri, bawa masuk dalam Malaysia. Masalahnya, syarikat-syarikat yang ambil minyak ini dia naikkan harga, barang jadi naik, bukan minyak kerete saja naik, barang-barang yang dibawa pun naik, menyebabkan berlaku inflasi, tingkat kos sara hidup yang sangat membebankan.”

Beliau memberikan penjelasan bahawa sumber pendapatan negara terbahagi kepada dua, iaitu hasil bukan cukai seperti minyak yang sedia ada dalam negara, dan hasil cukai seperti produk atau barang yang dibawa masuk ke dalam negara.

Menurutnya, Malaysia mempunyai hasil bukan cukai yang banyak yang boleh dimanfaatkan untuk pendidikan percuma, dan mengurangkan cukai-cukai yang membebankan rakyat. Cukai Korporat, cukai industri dan cukai perkilangan juga boleh dinaikkan bagi menampung usaha melaksanakan pendidikan percuma. – HARAKAHDAILY 8/5/2018

- Advertisement -