Awas taktik musuh di saat-saat akhir

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan menasihatkan penyokong parti itu khususnya anak muda tidak melakukan sebarang provokasi ketika keghairahan berkempen di saat-saat akhir.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, penyokong juga diingatkan tidak mencetus suasana kecoh terutamanya di pusat-pusat pengundian.

Katanya, pada saat-saat akhir perkara yang tidak diduga boleh tercetus kalau tidak dikawal perasaan sehingga boleh mengundang situasi buruk.

“Kawal perasaan, kawal diri sebaik mungkin dan jangan mudah melatah dengan provokasi pihak lawan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat PAS Kelantan hari ini.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan jentera PAS memperkemaskan gerak kerja bagi mengelak pencerobohan pihak lawan menjelang hari mengundi esok.

“Kelekaan jentera parti pada malam terakhir selepas jam 12 malam akan memberi ruang pihak lawan menggerakkan operasi mereka secara halus,” katanya.

Di Jeli dan Tanah Merah agen Umno dikatakan naik turun rumah penduduk selepas jam 12 malam untuk mengagihkan duit dan baiah sumpah dengan pengundi. – HARAKAHDAILY 8/5/2018

- Advertisement -