Warga Thailand diupah undi BN

- Advertisement -

TANAH MERAH: PAS Tanah Merah mengesan seramai 200 hingga 300 pengundi warga Thailand yang dibawa ke sini untuk mengundi pada Rabu ini.

- Advertisement -

Mereka dibawa dengan lima lori yang diiringi dua kereta yang ditampal lambang Barisan Nasional (BN) ke Institut Latihan Belia Negara (IKBN) dikesan pada jam 8.30 malam semalam.

Ahli Jawatankuasa PAS Tanah Merah, Mohd Zaki Mat Zain berkata, lori tersebut ditutup kanvas masuk ke dalam kawasan IKBN melalui pintu utama.

Katanya, kehadiran lima lori itu menimbulkan keraguan kerana IKBN terbabit belum lagi beroperasi sepenuhnya.

“Kami menunggu sehingga jam 2 pagi sambil meninjau kawasan sekeliling dan melihat kelibat orang ramai di kawasan asrama IKBN.

“Terdapat juga beberapa kenderaan yang dilekat lambang BN di sekitar kawasan asrama tersebut. Kira-kira jam 2.30 pagi kami jentera pilihan raya PAS meminta izin pengawal keselamatan bertugas untuk masuk ke dalam namun tidak dibenarkan,” katanya di sini.

Ekoran itu katanya beliau menghubungi Balai Polis Tanah Merah bagi memaklumkan perkara itu.

Mohd Zaki berkata, pegawai polis datang dan meninjau kawasan asrama tersebut dan terbukti terdapat lebih 200 warga Thailand di bangunan IKBN.

“Ada di antara mereka mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia, pas sempadan dan tiada dokumen.

“Mereka mengaku dibawa ke Tanah Merah dengan diberi sejumlah bayaran untuk mengundi BN,” katanya.

Beliau juga membuat laporan polis terhadap kehadiran warga Thailand tersebut. – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -