Tun M terpengaruh kesesatan Murji’ah?

- Advertisement -

DISEBABKAN Tun Dr Mahathir telah memuji pengetahuan luar biasa Almarhum Datuk Fadzil Noor selain mendedahkan kononnya Almarhum pernah menjadi penasihat agama beliau, maka di sini saya sertakan antara nasihat akhir Almarhum kepada beliau di dalam sidang Parlimen pada 13 Mac 2002:

- Advertisement -

“Saya sangat kesal dengan ucapan Perdana Menteri di Dewan Bahasa ketika merasmikan Seminar mengenai dengan Pembukaan Minda, Minda Terbuka, Minda Melayu Muslim, apabila beliau mengatakan, “Cukuplah dengan kita mengatakan dengan Laailahaillallah Muhammadurrasulullah, apa pula hendak ditambah yang lain-lain?””.

“Kita ada wakil, PAS menghantar tiga orang wakil dalam Seminar itu diketuai oleh Setiausaha Agung PAS yang juga membentangkan kertas kerja. Kita dengar, dapat laporan semua apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri dan saya sangat kesal dan saya kasihan kepada dia. Dalam keadaan usia beliau yang sudah hampir mendekati penghujung, saya sangat kasihan apabila dia bercakap begitu…”

“Saya sangat bimbang apabila beliau mengatakan cukup mengatakan Laailahaillallah Muhammadurrasulullah, takut-takut beliau dipengaruhi oleh satu pemikiran yang dikenali dalam ilmu perbahasan ilmu, ilmu kalam atau ilmu yang dibincangkan dengan ketuhanan dan Syariat, iaitu kumpulan yang dipanggil kumpulan Murji’ah. Fikiran Murji’ah yang sangat merbahaya. Kumpulan ini yang digolongkan dalam kumpulan golongan-golongan sesat.”

“Kumpulan ini mendukung pemikiran bahawa amalan manusia tidak ada hubungan dengan iman. Iman tidak akan bertambah dan tidak akan berkurang apabila seseorang itu melafazkan Laailahaillallah Muhammadurrasulullah hati yang menerima ke-Esaan Allah, amalannya tidak menambahkan keimanannya, kemaksiatannya juga tidak mengurangkan keimanan. Ini pemikiran golongan Murji’ah yang bercanggah dan berlawanan dengan al-Quran dengan As-Sunnah.” – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -