Tun M terdesak, cuba pecah belah PAS

- Advertisement -

SAYA melihat tindakan Tun Dr Mahathir menziarahi kubur Almarhum Datuk Fadzil Noor di Kedah dan cuba menziarahi kubur Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz di Kelantan adalah satu cubaan terdesak beliau untuk memecahbelahkan PAS dengan cuba meminggirkan ahli dan penyokong PAS dari Presidennya, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Ini kerana tatkala beliau cuba mendekatkan diri dengan Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Tun Dr Mahathir pada masa yang sama tidak henti-henti memburuk-burukkan dan memfitnah Datuk Seri Abdul Hadi, termasuk dengan menyalahkan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai punca berlakunya Peristiwa Memali.

Di dalam ucapan “Mati katak” beliau pada 3 Mei, Tun Dr Mahathir terang-terang menuduh Datuk Seri Abdul Hadi “Menyuruh orang dia bunuh pegawai kerajaan” menyebabkan “Di Memali mereka menembak mati empat orang polis”, selepas itu barulah polis balas balik dan mereka juga mati, 14 orang, bukan mati syahid, mati katak”.

Di dalam ucapan “Maaf” beliau pada 4 Mei, Tun Dr Mahathir sekali lagi menyebut “Sebenarnya kalau Hadi tidak berkata bahawa kematian seseorang itu apabila melawan kerajaan adalah mati syahid maka tentu tidak berlaku kes Memali” dan “Dianya berlaku kerana kepercayaan bahawa kematian apabila membunuh polis kerajaan kita mati syahid”.

Mengulangi tuduhan ini adalah ucapan Naib Presiden PAN, Husam Musa, yang sedang ditularkan berbunyi: “Memali tu ‘ jadi kerana Abang Aji buat tubik fatwa Amanat Banggol Peradong-lah, Abang Aji, kalu tak dok Amanat Abang Aji tu sapodio Ibrahim Libya nak lawan kerajaan sampai berani bawa bedil senapang patah nak lawan kerajaan?”

Mempertahankan Tun Dr Mahathir, malah menyanggah kenyataan seorang lagi Naib Presiden PAN, Datuk Mahfuz Omar, pada 13 Mac 2002 bahawa “Arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri untuk membunuh Ustaz Ibrahim Mahmud”, Husam Musa juga bertanya: “Bila Mahathir suruh gi tembak? Ada bukti Mahathir suruh gi tembak?”

Sebenarnya, tuduhan bahawa Peristiwa Memali berpunca daripada Amanat Haji Hadi ini telah dibuat oleh Tun Dr Mahathir, Tun Musa Hitam dan Tan Sri Rais Yatim dulu. Tetapi telah dinafikan dengan tegas dan konsisten oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz, Almarhum Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadzil Noor pada awal tahun 1986.

Begitu juga bila Amanat Haji Hadi itu sendiri dipertikaikan. Ketiga-tiga mereka lantang mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi sehingga ke saat kematian mereka.

Disebut oleh Almarhum Datuk Fadzil Noor pada 17 April 2001 umpamanya: “Saya ingin menjelaskan kerana ini fitnah. Perkara yang dikatakan Amanat Haji Abdul Hadi itu adalah petikan yang dibuat daripada ucapannya di Terengganu. Perkara ini telah dibangkitkan di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam tahun 1980-an ketika beliau menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar Terengganu pada waktu itu membawa potongan apa yang dikatakan Amanat Haji Hadi dan ahli daripada Marang tidak menafikan dan mengesahkan itu adalah petikan ucapan dia.”

Tambah Almarhum: “Dia tidak takut. Macam muka ini dia hendak takutkah? Dia tidak takut dan dia bersedia untuk berdepan dengan sesiapa pun. Dia bersedia untuk berdepan dengan sesiapa pun. Dia bersedia untuk bermuzakarah. Dia tidak takut dan dia mengakui itu adalah petikan ucapan dia. Buktikan di mana salahnya ucapan itu?”.

Disebut oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz pada 10 Mei 2002 pula: “Serupa yang disebut kepada Ustaz Haji Hadi, Dato’ Seri Haji Hadi, Amanat Haji Hadi ini pecah-belah, tapi bila Haji Hadi bangun nak muzakarah senyap sepi sampai sekarang. Kerana apa kalau tidak kerana pura-pura tuduh orang? Kalau orang itu berani sungguh, apa ini, ikhlas sungguh, tuduh Haji Hadi ini, apa ini, pecah-belah, kerana apa dia tak sahut muzakarah?”.

Tambah Almarhum: “Tok Guru Haji Hadi kata, “Lawan Umno ini jihad.” “Salah jihad.” Bakpor salah jihad lawan Umno ini? Kita duk sini hari ini pun jihad. Tuan-tuan semua mari dari Kuala Lumpur, saya tinggal kerja hari Jumaat pun hari cuti, ini jihad saya. Jihad bukan makna perang saja, perang itu perang. Ilmu pun jihad, derma pun jihad, mengaji pun jihad, bangun tengah malam pun jihad. Apa salah Haji Hadi kata begitu?”

Tuduhan bahawa mangsa Memali “Menembak mati empat orang polis” seperti yang disebut oleh Tun Dr Mahathir atau bahawa “Ibrahim Libya nak lawan kerajaan sampai berani bawa bedil senapang patah” seperti yang disebut oleh Husam Musa juga telah pernah diulas oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan Almarhum Datuk Fadzil Noor.

Disebut oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz pada 14 Mac 1986 umpamanya: “Tidak terdapat pemeriksaaan ke atas senjata dan peluru oleh Jabatan Kimia dan sebagainya sepertimana yang telah dibuat dalam kes pembunuhan Dato’ Mokhtar Hashim. Penyiasatan ini selain daripada tugas biasa pihak yang berkenaan yang perlu dilakukan. Ia juga boleh menentukan benar atau tidak teori peluru getah atau katakanlah peluru air sejuk yang digunakan oleh pihak pasukan bersenjata. Dia juga boleh menentukan pembunuhan ke atas pegawai-pegawai bersenjata itu sama ada daripada pihak mereka sesama sendiri memandangkan gambar sketch yang ditunjukkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di hari yang pertama kejadian itu berlaku menunjukkan kedudukan pasukan polis itu adalah secara berdepan satu sama lain.”

Disebut oleh Almarhum Datuk Fadzil Noor pada 13 Mac 2002 pula: “Dan kematian empat anggota polis pun tidak diketahui siapa yang sebenarnya menembak mereka, sebab tidak ada bedah siasat dibuat untuk menentukan peluru mana yang masuk ke dalam tubuh mereka, peluru siapa… Tidak ada aktivis Komunis, tidak ada senjata, tidak ada kubu (di dalam kawasan rumah Ibrahim Libya). Tetapi ada juga di antara polis-polis hutan, waktu itu nama Polis Hutan lagi, sekarang baru tukar nama PGA, nama “Hutan” sudah tidak ada lagi, ada juga di antara mereka yang datang menemui pimpinan PAS mengatakan kami menyesal kerana kami diberitahu yang kami hendak serang dan kami hendak bunuh itu ialah Komunis.”

Cubaan terdesak Tun Dr Mahathir untuk memecahbelahkan PAS dengan cuba meminggirkan ahli dan penyokong PAS dari Datuk Seri Abdul Hadi melalui strategi memisahkan Datuk Seri Abdul Hadi dari Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz diyakini tidak akan menjadi. Ini kerana rekod membuktikan sampai ke akhir hayat mereka Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz tetap mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi dan Amanat Haji Hadi.

Begitulah juga dengan strategi memisahkan Datuk Seri Abdul Hadi dari Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz yang turut diamalkan oleh Husam Musa serta pemimpin PAN lain yang diyakini tidak akan menjadi di atas faktor yang sama. Malah, semakin Datuk Seri Abdul Hadi diserang, semakin kuat ahli dan penyokong PAS menyokong beliau dan semakin nampak terpesong penyerang beliau dari legasi Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz. – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -