Tiga penjuru dari kacamata sirah Nabawi

- Advertisement -

PERTEMBUNGAN tiga penjuru, benda baru dalam situasi sekarang. Namun tidak aneh dalam Sirah Rasulullah S.A.W.

- Advertisement -

Namun, pendirian PAS membentuk blok sendiri adalah sesuatu yang akan menjadi asas dalam perjuangan seterusnya. Islam diletakkan sebagai asas kepentingan utama dan memimpin.

Dari sudut sejarah perjuangan yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W. Nabi membina kekuatan dengan bergantung kepada orang yang sanggup bersamanya, walaupun boleh sahaja menerima tawaran atau menawarkan pihak-pihak yang lain bersama.

Ketika kezaliman memuncak kepada Islam, Nabi membenarkan umat Islam mendapat perlindungan dari Kerajaan Habsyah. Namun, sesekali Nabi tidak menawarkan an-Najasyi atau Habsyah ketika itu datang untuk menghapuskan pemimpin Quraisy yang zalim.

Sedangkan sebelum itu, pasukan satelit Habsyah di Yaman, pernah datang menyerang Makkah dalam Peristiwa Pasukan Bergajah yang dipimpin oleh Abrahah. Kalau diikut, ajaran Nasara an-Najasyi lebih dekat dengan Islam, dan wajar secara logik politik hari ini diajak untuk memerangi Musyrikin Quraisy. Namun, Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah buat begitu.

Sebaliknya, Nabi tetap sabar menawarkan Islam kepada pengunjung-pengunjung Makkah ketika musim Haji dan bulan-bulan haram. Nabi bertemu dengan Kabilah yang kuat seperti Bani Amir atau Bani Syaiban, mereka menolak cara baik kerana tak mampu menahan risiko berhadapan Parsi atau Rom.

Akhirnya, pintu pembentukan blok Islam menampakkan hasil apabila Naqib-naqib dari Aus dan Khazraj berbaiah dengan Nabi Muhammad S.A.W. Akhirnya dijemput untuk memimpin mereka di Madinah. Nabi membentuk kuasa baru dunia semata-mata berasaskan wahyu Allah dan dipimpin dengan-Nya.

Di Yathrib, Nabi menawarkan kepada bukan Islam yang ada dari keturunan Yahudi dan yang lainnya dengan Islam yang tidak menzalimi sesiapa. Berjanji dalam Piagam Madinah seterus pembentukan Perlembagaan pertama yang lengkap di dunia dengan asas pemusatan kuasa dan pembahagian kuasa yang seimbang.

Umat Islam tertakluk dengan hukum Islam secara wajib, manakala orang Yahudi di kawasan mereka, boleh memilih dengan peraturan mereka di bawah wakil pemimpin mereka. Islam tidak menzalimi bukan Islam, waktu yang sama memperkasakan Syariat Islam. Inilah yang dicontohi PAS hari ini. menyuarakan Islam dengan terus terang, dan tidak memaksa yang bukan Islam untuk mengikut secara menyeluruh.

Sejarah yang berlaku, Islam akhirnya muncul tanpa bersandarkan kepada kuasa besar yang utama ketika itu, Rom dan Parsi. Walaupun, dalam Quran merekodkan, Musyrikin Quraisy pernah bergembira dengan kekalahan Rom kepada Parsi. Namun, ia tidak sampai kepada Nabi bersekongkol dengan Rom untuk menjatuhkan pemimpin Quraisy. Sebaliknya, dalam sejarah, yang bersekongkol dengan Rom adalah golongan munafik untuk melemahkan Islam dalam Peristiwa Masjid Dhirar yang dirakam dalam Surah at-Taubah.

Membentuk blok ketiga, selari dengan kemenangan yang dicapai oleh perjuangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. Mungkin tak menang serta-merta hari ini. tetapi inilah langkah al-Fath yang mengikut Sunnatullah perjuangan Islam yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

AHMAD HAKIMI OTHMAN 
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor.
7 May 2018 – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -