Rafidah, Daim, Mahathir dulu kotor kini bersih

- Advertisement -

DULU, pada tahun 1999, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis terhadap Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin atas tuduhan rasuah dan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad atas tuduhan salah guna kuasa (campur tangan dalam pelaksanaan keadilan).

- Advertisement -

Dulu, pada tahun 1999, Lim Kit Siang mempersoalkan SPRM dan PDRM kerana tidak bertindak ke atas laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin dan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ini.

Sekarang, pada tahun 2018, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin, yang dituduh rasuah, bergabung tenaga pula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dituduh salah guna kuasa, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membersihkan Malaysia.

Sungguh ironis sekali, tetapi itulah dia Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan kerajaan bersih dengan menggantungkan harapan kepada mereka yang dituduh rasuah dan salah guna kuasa seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bila sokong sahaja PH, terus sahaja mereka yang dulu dianggap kotor, dituduh rasuah dan salah guna kuasa ini menjadi bersih, malah dijulang dan diusung pula ke sana sini oleh pemimpin dan penyokong PKR, DAP dan PAN sebagai tokoh pembersih. Inilah dia politik “Matlamat menghalalkan cara”. Sedang mereka pula bukanlah “Game-Changer”.

Ucapan Lim Kit Siang di Parlimen pada 1 November 1999 

“Dalam laporan polisnya pada 9 Julai 1999, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh merujuk kepada suatu dokuman Bahagian Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara, yang bertarikh 14 Mac 1995 yang ditandatangani oleh Abdul Gani Patail, yang jelas menyatakan bahawa wujudnya asas prima facie untuk mendakwa Dato’ Paduka Rafidah Aziz atas lima tuduhan rasuah di bawah Seksyen 2(2), Ordinan 22, 1970 iaitu:

(1)     Sebagai Pengerusi “Jawatankuasa Pembahagian Saham Bumiputera, MITI” beliau meluluskan RM 1.5 juta Saham Syarikat Leader Universal Holding Bhd kepada anak menantunya, Fazrin Azwar bin Mohd Nor; 

(2)     Beliau meluluskan satu permohonan dari Fazrin Azwar untuk menjualkan 450,000 unit Saham berkenaan;

(3)     Beliau meluluskan satu permohonan dari Fazrin Azwar untuk menjualkan 315,000 unit Saham berkenaan;

(4)     Beliau meluluskan satu permohonan dari Fazrin Azwar untuk menjualkan 335,000 unit Saham berkenaan; dan

(5)     Beliau meluluskan pengagihan 4,173,190 unit Saham FACB kepada Fazrin Azwar.

“Dalam laporannya, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh berkata bahawa Peguam Negara tidak meneruskan pendakwaannya atas sebab campur tangan Perdana Menteri. Dan ini menyebabkan pendakwaan ke atas Yang Berhormat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak diteruskan. Dengan itu, kegagalan untuk melakukan apa yang dikehendaki Undang-undang bererti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Berhormat Peguam Negara dan Abdul Gani Patail telah campur tangan dalam pelaksanaan keadilan dan telah melanggari Undang-undang.”

“Dalam laporan polisnya pada 30 Julai 1999, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh mendakwa bahawa Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin, melakukan rasuah kerana menerima wang dan Saham dari tiga Tokoh Korporat terkenal semasa beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 – 1991.

“Dalam laporan polisnya beliau melampirkan surat yang dituliskan oleh Pengerusi Renong Bhd, Halim Saad, Pengerusi Malaysian Airline System Bhd, Tajudin Ramli, dan Pengerusi Land and General Bhd, Wan Azmi Wan Hamzah, kepada Yang Berhormat bagi Merbok dalam tahun 1990, menunjukkan “dengan jelasnya” bahawa Yang Berhormat bagi Merbok telah menerima wang dan Saham Korporat yang bernilai lebih kurang RM 600 juta.

“Sekiranya seorang Menteri Kewangan menerima kekayaan sebegitu semasa memegang jawatan rasmi, ini adalah dianggap sebagai salah laku rasuah. Menurut dokumen-dokumen yang dilampirkan oleh Yang Berhormat bagi Permatang Pauh kepada laporan polisnya, surat Halim yang bertarikh April 1990 menyatakan bahawa beliau sedang memegang lebih kurang RM 52 juta Saham Faber Merlin Bhd dan RM 130 juta Saham Renong sebagai amanah kepada Yang Berhormat bagi Merbok.

“Wan Azmi dan Tajudin juga masing-masing mengesahkan dalam surat-surat yang berasingan bahawa mereka memegang sejumlah RM 150 juta dan RM 70 juta wang tunai sebagai amanah kepada Yang Berhormat bagi Merbok. Yang Berhormat bagi Permatang Pauh berkata dalam laporan polisnya bahawa beliau agak pasti bahawa angka-angka ini hanya merupakan sebahagian kecil harta yang diperolehi oleh Yang Berhormat bagi Merbok semasa menjadi Menteri Kewangan dan beliau semasa itu sebenamya bertindak bagi pihak Perdana Menteri dalam sesetengah kes”.

“DAP menyeru supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja untuk menjalankan penyiasatan terhadap semua tuduhan penyelewengan, ketidaksenonohan dan penyalahgunaan kuasa yang telah didedahkan”. – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -