Kalau hasil bumi banyak, cukai tak perlu

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata dalam pemerintahan Islam, hasil negeri dan bumi yang banyak perlu dimanfaatkan secara maksimum.

- Advertisement -

Ia bersesuaian dengan kepakaran dan kelebihan yang wujud dalam setiap kaum masyarakat majmuk sama ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian mengenai tawaran Gagasan Sejahtera sekiranya diberi mandat mentadbir bersama masyarakat Cina semasa Sesi Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina N.20 Pengkalan Berangan, hari ini.

“Kita nak tunjuk cara bagaimana kita memerintah. Sekiranya kita ada hasil bumi, hasil negeri ada, cukai ini nombor dua. Hasil bumi dahulu. Kalau hasil bumi itu banyak, maka cukai tak perlu. 

“Siapa yang memerintah Malaysia ini, dia urus harta yang sama. Dia urus hasil yang sama, hasil itu juga. Cuma bagaimana dia urus itu saja, itu yang bezanya. Jadi kita nak urus dengan cara yang tak membebankan rakyat,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman semasa memerintah Terengganu apabila berjaya menghapuskan cukai pintu rumah kediaman, menghapuskan tol dan beberapa usaha yang lain.

“Tapi sayangnya kalau kita buat hari ini, Kerajaan Pusat sangat marah. Dia rampas minyak, rampas petrol, tapi kita boleh memerintah.

“Caranya ialah kita naikkan cukai industri, naikkan cukai-cukai mereka yang kaya, cukai balak. Orang miskin kita tak naikkan cukai,” tegasnya.

Ketirisan dan kesilapan urus tadbir kerajaan

Beliau juga menjelaskan tentang pembaziran yang banyak berlaku melibatkan berbillion Ringgit akibat kesilapan urus tadbir.

“Oleh kerana masa dahulu banyak hasil-hasil ini bocor, projek-projek membazir, semua orang tahu. Jadi tak cukup duit, dia kenakan GST,” katanya yang juga calon PAS bagi Parlimen Marang.

Jelasnya, PAS akan menghapuskan GST sekiranya diberi mandat memerintah dan menggantikan pendapatan negara daripada hasil kutipan GST tersebut dengan menaikkan cukai Korporat, cukai Saham, cukai industri dan perkilangan.

“Bukan payah sangat. Itu antara benda yang kita nak buatlah,” ujar beliau.

Beliau turut menyentuh isu peluang pekerjaan apabila berlaku kebanjiran pekerja asing hingga menyebabkan wujud rakyat tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan di samping kekurangan pelabur-pelabur asing yang datang ke Malaysia.

“Kita boleh galak pelabur asing mari, tapi mesti pindah kemahiran dia kepada orang sini. Yang keduanya, beri pekerjaan kepada orang sini. Dan kerajaan kena kawal supaya anak-anak muda kita ada kerja di sini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/5/2018

- Advertisement -