Umno boleh mohon bina Universiti al-Quran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Umno tidak perlu menunggu untuk menang pilihan raya bagi membolehkan Universiti al-Quran dibina di Kelantan.

- Advertisement -

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, sekarang pun Kerajaan PAS boleh meluluskan Universiti itu kalau Umno berminat mahu membinanya.

“Kita boleh lulus segera mana-mana tanah yang mereka pilih. Boleh cari di jajahan mana sekali pun. Kerajaan Kelantan akan berikan kerjasama.

“Tetapi isunya sekarang kenapa janji mahu membina Universiti hanya dibuat pada musim pilihan raya sahaja,” katanya di sini semalam.

Manifesto Barisan Nasional Kelantan yang bertema “Bersama Demi Kelantan” menyenaraikan agenda pertama memartabatkan Syariat dan Syiar Islam termasuk cadangan menubuh Universiti al-Quran bagi melahirkan ramai generasi huffaz profesional.

Che Abdullah yang juga calon PAS Parlimen Tumpat berkata, janji Umno hendak bina Universiti hanya sekiranya berjaya merampas Kerajaan Negeri Kelantan.

“Kerajaan Persekutuan sekarang masih ada kuasa, kalau mereka minta tanah untuk tubuh Universiti al-Quran InsyaAllah kita akan bagi.

“Tidak perlu tunggu sehingga mahu menjatuhkan Kerajaan Islam Kelantan. Bila-bila masa mereka boleh mohon,” katanya.

Ditanya Manifesto PH Kelantan yang mahu menghapuskan bayaran letak kereta setelah mendapat bayaran royalti petroleum katanya, parti itu hanya menghidang khayalan kepada rakyat Kelantan.

Katanya, perkara kalau dapat royalti tidak boleh masuk dalam senarai manifesto kerana perkara itu belum tentu dapat.

“Sedangkan kerajaan negeri sudah berusaha mendapat royalti sejak 2004 namun sehingga sehingga sekarang belum berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2018

- Advertisement -