Pilih parti yang bersama ulama tegak Islam

- Advertisement -
SIK: Seorang Muslim yang memusuhi ulama berbanding sikap mereka terhadap golongan kufar sebenarnya menjadikan diri sendiri sebagai seteru Islam.
 
Anakanda Raja Sakti iaitu Shahrunizam Mat Rashid berkata, ulama sebagai pewaris Nabi meneruskan kerja dakwah di mana menjadi kewajipan umat mengikuti mereka.
 
“Tanpa ulama, kita akan terus berada dalam kesesatan, tidak peduli halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Kerana itulah ulama sebagai cahaya petunjuk, jalan keluar dari kegelapan,” ujarnya.
 
Beliau yang datang dari Kelantan bagi membantu kempen PAS Kawasan Sik pada PRU14 itu berucap demikian pada ceramah di Beris Jaya, di sini kelmarin.
 
Tegas beliau, ulamalah yang mengajar umat mengenai selok belok Islam sebagaimana disaksikan usaha para ulama menyebar Islam ke seluruh pelusuk dunia selepas ketiadaan Rasulullah.
 
Demikian itu katanya, pelbagai kemelut melanda umat dan negara hari ini tidak akan selesai melainkan menuruti bersama ulama untuk berpegang dengan panduan Islam.
 
Kerana jelasnya, hanya ulama yang benar-benar memahami Islam dan dalam konteks di negara ini terhimpunnya ramai ulama adalah di dalam PAS.
 
Hadir sama pada majlis itu adalah calon PAS P.013 Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan N.24 Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor serta Pengarah MTD Jeneri, Zakaria Said. -HARAKAHDAILY 6/5/2018
- Advertisement -