PAS kemuka tawaran terbaik buat rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menawarkan lima perkara kepada rakyat di seluruh negara supaya menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.

- Advertisement -

Tawaran mensejahterakan rakyat itu diumumkan sekali lagi semasa Program Bicara Santai Ayoh Chik Bersama Orang Besut yang diadakan di Kg. Cherang Meliling, Besut hari ini yang disiarkan menerusi laman Facebook.

Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan lima perkara tersebut, antaranya memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Seterusnya, kata beliau PAS memperkenalkan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051).

Sementara itu, ujarnya manifesto yang dikemukakan oleh PAS yang meliputi kepentingan kesemua segmen masyarakat.

Malah kata beliau, PAS mengetengahkan calon-calon yang bakal bertanding mewakili PAS dalam PRU14.

Jelas beliau, PAS memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dengan menjadikan cara politik yang lembut.

PAS, katanya tidak menggunakan cara keras supaya pendekatan politik yang diamalkan oleh ahli PAS di seluruh negara ini akan mampu menerangkan tentang PAS kepada rakyat.

Beliau menjelaskan Dokumen Hijau yang membincangkan perihal pengurusan ekonomi negara mengikut cara yang dicadangkan oleh PAS.

Sementara WINS 2051 pula merupakan perancangan PAS akan datang sambil menjelaskan Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Mahathir hanya tinggal kurang 2 tahun sahaja lagi.

Menurut beliau, manifesto yang dikemukakan PAS adalah janji-janji yang akan dilaksanakan oleh PAS sekiranya diberikan mandat untuk memerintah negara.

PAS, jelasnya menyediakan calon-calon daripada pelbagai latar belakang untuk bertanding dalam PRU14 di seluruh negara.

Terang beliau, calon-calon daripada PAS bukan hanya daripada latar belakang agama tetapi ramai juga yang berlatar belakang profesional malah terdapat 20 orang daripada calon PAS merupakan bekas tentera.

PAS bakal bertanding dalam PRU14 di 158 kerusi Parlimen dan 393 kerusi Dun di seluruh negara bersama-sama dengan parti komponen Gagasan Sejahtera. – HARAKAHDAILY 6/5/2018

- Advertisement -