PAS cukup jentera petugas PRU14

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Seramai 7,483 pegawai, anggota dan pasangan Polis serta Tentera seluruh negeri Terengganu terlibat dalam proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Manakala, di Kuala Terengganu hanya tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada empat dikategorikan mempunyai pengundi awal iaitu Dun Bandar, Dun Ladang dan Dun Batu Buruk.
 
Sementara itu, calon N.13 Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dilaksanakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Katanya, proses itu berjalan dengan baik dan PAS mempunyai cukup petugas pilihan raya yang dilantik khas.
 
“Saya melakukan lawatan ke IPK Polis Terengganu ini untuk melihat sendiri proses pengundian awal yang dikhususkan kepada mereka, yang telah berdaftar sebagai pengundi awal terdiri dari anggota keselamatan dan pasangan di Kuala Terengganu. 
 
“Ini (undi awal) melibatkan tiga Dun iaitu Ladang, Bandar dan Batu Burok. Proses ini berjalan dengan baik dan mudah-mudahan ianya juga selamat, InsyaAllah,” ujarnya kepada Harakah ketika berada di Pusat Mengundi, Dewan Budaya, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Terengganu, di sini semalam.
 
Menurutnya, reaksi di kalangan anggota keselamatan terbabit yang ditemui ketika sedang menunggu giliran amat positif.
 
Malah menurut beliau, ada di kalangan anggota itu berbisik dengan isyarat ini kalilah merujuk kepada perubahan.
 
Ketika kunjungan itu, calon parti lawan PAS yang terdiri dari Barisan Nasional (BN) dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) turut melakukan lawatan yang sama menyantuni warga pengundinya.
 
Sehubungan itu, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,511 anggota membuang undi di Pusat Mengundi Dewan Budaya, Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Terengganu, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. -HARAKAHDAILY 6/5/2018
 
- Advertisement -