Kejayaan manis Kedah semasa Ustaz Azizan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Radhi Mat Din, calon PAS bagi Parlimen Pokok Sena berkata, pemerintahan PAS Kedah di bawah Almarhum Ustaz Azizan suatu kejayaan yang manis.

- Advertisement -

“Bola sepak merupakan satu kesinambungan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan anak muda dan mewujudkan sesuatu aktiviti yang sihat dan meleraikan gejala yang tidak sihat,” katanya.

Menurutnya, salah satu kejayaan pemerintahan PAS Kedah adalah mewujudkan satu Kejohanan Piala MB yang memberikan peluang kepada anak muda di peringkat kampung dan tidak terlibat secara langsung dalam pasukan Kedah untuk mencungkil bakat di samping menambahkan minat untuk melibatkan diri dalam sukan.

Tambah beliau, bola sepak adalah satu sukan yang dapat mengeratkan ukhuwah dan mengelakkan anak muda daripada terlibat dengan gejala sosial.

“Satu kejayaan yang paling manis dalam pemerintahan Almarhum Ustaz Azizan dalam Pasukan Bola Sepak Kedah adalah merangkul piala doubletreble pada tahun 2008 selepas menumpaskan Selangor 3-2 dalam aksi final Piala Malaysia.

“Kejayaan yang diperolehi ini tidak dapat diraih oleh mana-mana pasukan dalam masa satu tahun,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, sepanjang Almarhum Ustaz Azizan menjadi Presiden Bola Sepak Kedah, satu kejayaan besar yang cukup membanggakan adalah beliau telah berjaya membayar semula KWSP pemain bola semasa dan sebelumnya yang bernilai hampir RM 5 juta.

“Tindakan drastik yang diambil oleh Almarhum Ustaz Azizan telah mengembalikan sukan dan keyakinan rakyat kepada pemerintahan PAS,” ujarnya.

Beliau berkata, ramai yang membuat persepsi bahawa permainan bola speak adalah suatu sukan yang tidak berlandaskan Syariat, namun apa yang dilakukan oleh pemerintahan PAS negeri waktu itu (2008) memberikan impak yang positif kepada rakyat khusus kepada pemain dan penyokong bola sepak Kedah.

“Almarhum Ustaz Azizan bukan sahaja memfokuskan kepada kejayaan malah lebih kepada mempraktikan amalan. Beliau telah memperbanyakkan tempat ibadat di luar stadium dengan menyediakan khemah-khemah serta kemudahan tempat mengambil wuduk,” tambah beliau.

Jelas, katanya Islam sentiasa memberikan peluang kepada apa-apa saja bidang tetapi hendaklah berlandaskan Syariat.

Tambahnya, Islam juga tidak mengetepikan usaha-usaha sukan dalam memberikan kebaikan. – HARAKAHDAILY 6/5/2018

 

- Advertisement -