TG Haji Hadi dan Tun Mahathir

- Advertisement -

TERINGAT mengenai cerita tahun 90-an yang diceritakan sendiri oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHH) sewaktu berbincang dengan beliau mengenai pemantapan Dokumen WINS dan PITAS Terengganu pada akhir tahun lepas. Kesempatan sarapan pagi, saya ambil untuk menanyakan pelbagai perkara dari hal sejarah mengenai Necmecctin Erbakan dan perkembangan politik semasa melibatkan Tun Mahathir yang sedang cuba menguasai Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

- Advertisement -

Tun Mahathir dan Politik Negara

Tun Mahathir memainkan peranan dalam landskap politik Malaysia sejak dari awal lagi, beliau bersama beberapa Pimpinan Umno adalah berasal dari Saberkas seperti Senu Abdul Rahman. Peranannya dalam landskap Politik Negara mula tertonjol apabila kalah dalam PRU 1969 kepada calon PAS, Ustaz Yusuf Rawa di Parlimen Kota Setar.

Sejak itu, beliau menyerang pucuk pimpinan Umno terutama kepada Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama. Beliau menulis surat terbuka dan juga menulis buku yang kemudian diharamkan ketika itu sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, The Malay Dilemma.

Ketika itulah, beliau berada di pentas pembangkang dan waktu itu juga beliau bersama Dato Sri Anwar Ibrahim yang memimpin Abim. Dipendek cerita, Tun Mahathir kembali kepada Umno selepas Tun Abdul Razak Menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Beliau diangkat dalam Kabinet Tun Razak.

Selepas mencapai tujuan dan kedudukan dalam Umno dan kerajaan, Tun Mahathir tidak berpaling ke belakang lagi. Dalam politik Umno, beliau sentiasa berada di depan. menggantikan Tun Hussein Onn, mengatasi Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan yang terakhir tahun 1998, mengatasi ancaman Dato Sri Anwar Ibrahim.

Tok Guru dan Tun Mahathir

Selepas kemenangan PAS tahun 1990 di Kelantan. PAS menjadi cabaran besar kepada Mahathir. Kerajaan BN pimpinan beliau menekan Kerajaan Negeri Kelantan Pimpinan PAS dengan pelbagai tekanan. Sehingga pada satu keadaan, ketika Umno tidak dapat sokongan di peringkat Istana, Mahathir dan Umno merancang untuk melucutkan kekebalan Raja-raja.

Maka, dipelawa kepada PAS untuk menyokong di Parlimen oleh PAS. Tok Guru menyatakan keadaan ketika itu agak mengelirukan kerana BN baru lepas mengalami kekalahan di Kelantan dan Mahathir cuba mendapat kuasa Autonomi Eksekutif mutlak di peringkat Parlimen dengan meminda Kuasa Raja-raja.

Walaupun ketika itu PAS tidak ramai wakil ahli Parlimen, tetapi sokongan PAS adalah signifikan. Semangat 46 (S46) tidak menyokong tindakan Umno-BN kerana Pimpinan S46, Ku Li sangat baik dengan Istana terutama Istana Kelantan.

Apabila PAS mengambil langkah berkecuali, Tun Mahathir amat marah kepada Tuan Guru Haji Hadi dengan tindakan tersebut. Dan dari sejarah itu, ternyata TGHH adalah antara orang-orang politik yang tak dapat ditundukkan oleh Tun Mahathir. TGHH bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tokoh-tokoh PAS yang sangat memahami politik Mahathir dan memulangkan rancangan Mahathir dengan bijak sekali.

Sememangnya, tindakan Mahathir atas nama menolak kekebalan Raja-raja ketika itu, turut memonopoli kuasa Majlis Keselamatan Negara, yang boleh isytihar darurat oleh Perdana Menteri tanpa nasihat DYMM Agong sekiranya diperlukan. Kuasa yang terlalu tinggi kepada Perdana Menteri tanpa imbangan yang seimbang. 

Hari ini, Tokoh yang sentiasa tak dapat dimakan oleh Mahathir adalah Tuan Guru Haji Hadi. Namun begitu, ketika menjadi Perdana Menteri, TGHH tak nafikan sumbangan Mahathir kepada negara. Malah, dalam kes yang cuba dicadang oleh Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, Tun Mahathir antara yang menyambut untuk mewujudkan Negara D8 tajaan Turki tersebut.

Pernah Erbakan memesan diberi buku Biografi beliau kepada Mahathir melalui TGHH, tetapi TGHH memesan pula pada pembantu Mahathir hadiah daripada Erbakan tersebut. TGHH sebut kepada kami ketika itu, Mahathir lawan semua, yang penting dialah yang Heronya. Kami gelak bersama-sama.

Esok lusa, pengundian PRU14, sekali lagi Tun Mahathir memainkan peranannya tetapi di pihak pembangkang. Namun, gerak langkah beliau sentiasa dibaca oleh kita, terutama Tok Guru Presiden yang sudah masak dengan politik setengah abad Tun Mahathir.

Kita berada di pihak Gagasan Sejahtera, untuk mengimbang keharmonian negara dengan Islam. Bersama Islam, tidak akan merosakkan negara. Namun tolak Islam, menangguhkan Islam, pasti akan memudaratkan kita dan juga negara.

AHMAD HAKIMI OTHMAN 
Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Selangor
5 May 2018
Bandar Puncak Alam. Kuala Selangor – HARAKAHDAILY 5/5/2018

- Advertisement -