Tun M dihantui dosa silam?

- Advertisement -

SEMAKIN lama semakin lantang nampaknya Tun Dr Mahathir Mohamad mencerca dan memfitnah pemimpin lain yang tidak sealiran dengan beliau.

- Advertisement -

Malam tadi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi mangsa terbaru cercaan dan tohmahan beliau. Kata Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Abdul Hadi “Pekak”, dan “Menyuruh orang dia bunuh Pegawai Kerajaan”, menyebabkan “Di Memali mereka menembak mati empat orang polis”. Kata Tun Dr Mahathir lagi, “Selepas itu barulah polis balas balik dan mereka juga mati, 14 orang, bukan mati Syahid, mati katak”.

Tidak habis-habis nampaknya dendam kesumat Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Abdul Hadi ini sehingga terus-terusan memainkan isu Amanat Haji Hadi yang didakwa mengkafirkan Umno. Walhal bukan setakat Datuk Seri Abdul Hadi, malah Almarhum Yusof Rawa, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan Almarhum Datuk Fadzil Noor sendiri sangat tegas dan konsisten sekali mempertahankan amanat ini di samping menafikan ia adalah satu bentuk pengkafiran terhadap Umno.

Perkara sama turut dinyatakan oleh pemimpin PPBM sendiri, Dr Maszlee Malik, yang menulis pada 1 Januari 2013 bahawa beliau “Tidak nampak ada isu mengkafirkan Umno dalam Amanat Haji Hadi”. Tuduhan Tun Dr Mahathir bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang “Menyuruh orang dia bunuh Pegawai Kerajaan” adalah jelas satu fitnah. Begitu juga dengan tuduhan beliau bahawa pengikut Ibrahim Libya yang terlebih dahulu “Menembak mati empat orang polis” yang merupakan satu tuduhan liar yang tidak pernah disertakan sebarang pembuktian.

Soal siapa yang memulakan tembakan dan atas motif apa, serta siapa yang menembak mati empat orang polis dan atas motif apa, adalah isu-isu yang memerlukan kepada wujudnya Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Lebih jauh lagi adalah tuduhan Tun Dr Mahathir bahawa 14 orang pejuang Memali “Mati katak” yang terang-terang merupakan satu penghinaan bukan sahaja kepada semua mereka yang terlibat malah kepada Almarhum Yusof Rawa, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dan Almarhum Datuk Fadzil Noor yang begitu tegas dan konsisten sekali mempertahankan kesyahidan 14 pejuang Memali ini khususnya sejak persetujuan mengenainya dicapai secara kolektif di dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Disember 1985.

Penegasan mengenai kesyahidan 14 pejuang Memali ini telah dinyatakan secara rasmi oleh ketiga-tiga pemimpin ini di dalam Kenyataan Media mereka dan di dalam Memorendum PAS Kepada Tun Dr Mahathir pada 19 Februari 1986 yang ditandatangani oleh Almarhum Yusof Rawa.

Malangnya dapat kita saksikan betapa pewaris-pewaris ketiga-tiga pemimpin ini di dalam PAN begitu bacul sekali untuk mempertahankan pendirian dan perjuangan bapa mereka sedangkan mereka pada masa yang sama tidak segan silu melaungkan kepada dunia kononnya merekalah penerus sebenar legasi bapa mereka.

Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, sekiranya beliau seorang pemimpin yang jujur dan tidak bacul, juga sepatutnya memprotes secara terbuka kenyataan Tun Dr Mahathir ini kerana beliau sendiri mengakui beliau memberi hujah mengapa 14 pejuang ini mati Syahid di dalam satu Mesyuarat Khas Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga menyebabkan beliau diusir keluar dari mesyuarat itu.

Kebersungguhan Tun Dr Mahathir mengorek kembali cerita Amanat Haji Hadi dan Peristiwa Memali di saat orang lain sibuk mengajak rakyat memandang ke hadapan ini, bagi saya, adalah bukti bahawa hidup beliau tidak tenang kerana sentiasa dihantui oleh dosa silam.

Fitnah terhadap Datuk Seri Abdul Hadi ini, bagi saya, adalah usaha Tun Dr Mahathir untuk mencuci diri dari dosa Memali sekali gus seperti membenarkan dakwaan Naib Presiden PAN, Datuk Mahfuz Omar, di Parlimen pada 25 Mac 2002 bahawa, mengikut Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, arahan untuk operasi serangan di Memali itu dibuat secara terus oleh Tun Dr Mahathir sendiri. – HARAKAHDAILY 4/5/2018

- Advertisement -