Mati katak suatu penghinaan – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ini suatu penghinaan bukan sahaja kepada mangsa Memali tetapi kepada seluruh keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Beliau berkata PAS mengecam tindakan Tun Dr Mahathir khususnya berhubung dengan kenyataan yang menuduh mangsa-mangsa Memali sebagai mati katak.

Katanya, PAS pada 32 tahun yang lalu, telah mendesak Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden Memali tersebut.

Tambah beliau, siasatan yang rapi telah dibuat namun hingga setakat ini, tidak ada suatu tindakan dijalankan walaupun kertas putih telah dibentang di peringkat parlimen.

“Walaupun ada empat orang anggota polis yang terlibat yang meninggal dunia, namun harus dibuktikan siapa yang membunuh empat orang anggota polis tersebut.

“Apakah daripada peluru-peluru dari kalangan mereka sendiri, sebab penduduk kampung yang bersenjata parang tak sampai pun dan tak dekat pun dengan polis yang bertindak pada waktu itu,” katanya dalam sidang media PRU14, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata menuduh mangsa Memali mati katak sebagai suatu penghinaan yang melampau.

Beliau yang juga calon PAS bagi Parlimen P.024 Kubang Kerian menerangkan jenazah orang Islam dihormati kerana manusia sifatnya mulia.

Ini, ujarnya dapat dilihat bila mana Sultan Kedah mencemar duli turun melawat dan berdoa di kubur Ibrahim Libya.

“Kalau mereka dianggap mati katak, tindakan Sultan Kedah itu kita nak letak sebagai apa? Sebagai satu tindakan yang tak betul?” tanya beliau.

Tambahnya, PAS beranggapan bahawa kenyataan Mahathir yang menghina mangsa Memali menggambarkannya dalam keadaan yang sangat terdesak.

Beliau berkata, Pakatan Harapan kini berada pada posisi yang sangat terdesak sehingga terpaksa membawa isu-isu yang telah berlalu 30 tahun lamanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2018

- Advertisement -